Motif utama kereta-kereta SQ begini dibina agak jelas dengan mengambilkira kepuasan pendengaran telinga manusia sentiasa berubah mengikut tahap tertentu. Berbeza dengan bunyi kinetik yang dihasilkan suara liguistik, muzik memainkan peranan yang sangat besar. Lagu-lagu yang kita dengar di corong-corong radio hari ini telah melalui proses pendigital yang kompleks, menghasilkan pelbagai efek, mengasingkan bunyi setiap peralatan muzik dan diseragamkan mengikut jenis dan ritma.

Tugas ‘mengasingkan’ ritma ini menjadi lebih rumit dan terhasillah produk premium untuk membolehkan setiap unit bunyi ini dihasilkan semua di dalam kereta. Lama selepas era digital ini berkembang, pelbagai jenama mula menerjah pasaran. Ada yang kekal dan tak kurang juga yang sekadar mencetak katalog untuk setahun dua. Walaupun sistem bunyi adalah subjektif namun tidak susah untuk membandingkan sistem SQ yang berkualiti berbanding sistem yang dibina dalam keadaan sederhana.

Ini satu lagi contoh pembinaan kereta penumpang biasa yang menerima penaiktarafan sistem SQ yang menyeluruh. Honda Jazz berenjin hybrid ini telah melalui proses transformasi menyeluruh. Ketika meninggalkan kilang Honda Hybrid di Hamamatsu, Jepun, ia hanyalah sebuah model penumpang yang mengutamakan aspek ekonomikal bahanapi. Bila tiba di Malaysia dan dibeli oleh seorang pencinta audio, semuanya mula berubah.

Pemain utama asal telah digantikan dengan unit Alpine CDA9887R. Selain daripada Pioneer P80, 9887 (atau siri yang bermula dengan nombor 98**) juga adalah alternatif di kalangan pembina sistem SQ. Harganya yang munasabah disamping kejituan kualiti Alpine menjadikannya antara pilihan popular kepada para pencinta dunia audio.

Pemain ini mendapat set pemproses sekunder daripada Helix yang bertanggungjawab mengasingkan frekuensi bunyi mengikut laluan speaker yang betul. Ia adalah teknik konvensional yang sangat popular, murah dan mudah ditala oleh hampir sesiapa sahaja. Namun pemasangan alatan ini sahaja tidak akan berkesan jika anda hanya mengharap output daripada speaker asal. Justeru, kesemua set speaker asal Jazz ini telah digantikan dengan rangkaian yang baru.

Untuk bahagian hadapan set mid bass Dominations siri Sadewa bersaiz 6” digabung bersama 2 unit tweeter Dominations F51. Pun begitu, sumber kuasa untuk kedua-dua unit ini adalah berbeza di mana tweeter mendapat proses terus dari amplifier 4 channel dari Dominations ES E4100. Menurut pemasangnya, amplifier ini menghasilkan output yang baik disamping bunyi yang lebih tipis, dengan syarat ia mesti berdiri sendiri tanpa ‘bridge’ dengan mana-mana speaker lain.

Mid bass pula berkongsi kuasa dengan woofer belakang di mana amplifier 4 saluran Dominations RS 4500 YG digunakan. Dua saluran dihalakan kepada mid bass ini sementara baki 2 saluran lagi dibridge untuk woofer 12” Dominations D230 yang dipasang di bahagian but belakang.

Pembinaan sebuah kereta bercirikan audio berkualiti memerlukan bukan sahaja pengorbanan wang, tetapi dari segi praktikaliti ruang. Demi mendapatkan kapasiti liter mencukupi, sebahagian besar ruang bagasi kereta ini telah dibina semula untuk menempatkan seunit woofer yang mampu menghantar dentuman secukupnya ke hadapan. Selebihnya, binaan dalam but ini lebih bersifat estetik yang menampilkan perumah hiasan untuk kedua-dua amplifier yang digunakan sebentar tadi.

Keseluruhan pembinaan sistem merangkumi bilangan peralatan yang tidak besar. Namun masa dan tenaga yang dihabiskan untuk menyiapkannnya bukan sedikit kerana penyesuaian dibuat agar set pemasangannya mampu menghasilkan kualiti bunyi setanding dengan apa yang disarankan pengeluar. Ramai yang tidak sedar helah pemasangan yang betul, kekedepan, jumlah sub-per-liter, pendawaian dan jajaran kuasa adalah sangat penting berbanding pemilihan peralatan. Justeru, pilihlah installer yang ada reputasi bagus berbanding pemasang yang hanya mengenakan caj murah. Ini adalah realiti.




























