Main audio untuk kereta ini sememangnya amat menyeronokkan, apatah lagi kalau ada bajet yang besar. Bagi sesetengah orang, mereka lebih mementingkan kualiti bunyi yang dihasilkan dan kalau boleh, sekecil-kecil bunyi string atau loceng dalam muzik nak didengar biarpun masa tengah memandu 110km/j atas lebuhraya. Ada setengah orang pula, gemarkan bunyi yang kuat dan menggegarkan dada, kalau boleh biar satu kampung dengar! Ada pula yang gemarkan hobi ini sebab mereka boleh menunjukkan daya kreativiti dari teknik pemasangan dan persembahan.
Perodua Myvi yang anda boleh lihat ini bagi saya tergolong dalam kategori yang terakhir tu. Installer yang membuat kerja ni sememangnya dah lakukan secara “all out” untuk menghasilkan bukan saja hasil bunyi yang menarik, tapi juga hasil seni kreatif yang hebat. Memandangkan projek ini dibuat untuk tujuan demo dan pertandingan, jadi sistem bunyi yang dipilih ialah SPL atau sound pressure level. Seperti yang anda tahu, membina sistem SPL pada casis yang agak kecil macam Myvi sememangnya amat mencabar oleh kerana masalah kekangan ruang.
Di sinilah kreativiti installer memainkan peranannya. Tapi sebelum ke situ, baik saya ceritakan terlebih dahulu komponen audio yang dipilih. Sistem yang dipasang sepenuhnya oleh NSQ Audio Styling ini menggunakan unit utama 2-din dari Sony yang mempunyai keupayaan main semula kebanyakan jenis format audio dan juga video digital.
Dari situ, isyarat dari unit utama disalurkan kepada pre-amp dari Alpine yang bertindak memecahkan isyarat-isyarat bunyi yang bakal diperkuatkan oleh amplifier kelak. Dari sini, installer mula menggunakan produk buatan Pegasus bermula dari amplifiernya. Untuk menghasilkan bunyi yang mantap (dan kuat gila), sebanyak 4 unit amplifier digunakan, dua dari jenis 4 saluran dan dua lagi dari jenis monoblock.
2 unit amplifier 4 saluran yang digunakan ialah dari model Pegasus PG504 yang masing-masing bertanggungjawab untuk memacu speaker bahagian depan dan belakang. Untuk speaker hadapan, pihak NSQ menggunakan dua set speaker komponen 6.5” Pegasus PG618 yang datang lengkap dengan 2 unit tweeter dan seunit crossover. Satu set kulit pintu baru terpaksa dibuat untuk memuatkan set speaker yang turut menyimpan tiga unit monitor TFT 4” pada setiap pintu depan Myvi ini.
Untuk kereta hatchback seperti Myvi ni, deck-lid but belakang bukan tempat yang sesuai untuk memasang speaker umpama kereta sedan. Sebabnya, speaker-speaker tu akan menghala ke arah tanah dan bukannya menghala ke arah pendengar. Tak cukup dengan tu, ruangnya pun sangat kecil. Jadi, kreativiti installer sangat penting. Jadi, sistem audio kereta ni mengorbankan cermin belakang kereta dengan membina perumah custom yang tutup habis bahagian belakang. Perumah ini menempatkan sebanyak 6 unit speaker mid-bass 6.5” dari model Pegasus PG616 yang disusun secara berlapis. Untuk membantu penghasilan bunyi frekuensi tinggi, sebanyak 4 unit horn tweeter Pegasus digunakan.
Tidak sah kalau sebuah projek yang mementingkan kekuatan bunyi bass kalau woofer tak digunakan dengan meluas. Sekali lagi, kekangan ruang menjadikan proses pemasangan woofer menjadi lebih mencabar, lagi-lagi kalau installer berniat memasang bukan satu atau dua, tapi 8 unit woofer! Sekali lagi, kreativiti dan kemahiran pemasangan yang tinggi diperlukan kalau nak jadikan cita-cita satu realiti.
Jadi, installer membina dulu sebuah perumah custom yang sekali tengok, seakan-akan rupa “flux capacitor” mesin masa DeLorean dalam filem “Back to the Future”. Dengan jumlah woofer yang banyak, tempat duduk belakang terpaksa dibuang untuk menempatkan perumah custom tadi. Woofer yang digunakan ialah dari model Pegasus PG1850 yang masing-masing bersaiz 10”.
Memandangkan 8 unit woofer digunakan, installer terpaksa menggunakan dua unit amplifier jenis monoblock dari model Pegasus PG1300MD yang masing-masing memacu 4 unit woofer bagi memastikan bunyi bass yang dihasilkan sempurna dan padat. Amplifier-amplifier yang disebut awal tadi pun menggunakan perumah custom woofer tadi sebagai tempat untuk kesemuanya disimpan. Tak cukup dengan woofer tadi, sebanyak 10 unit monitor TFT disusun kemas pada perumah custom ni sebelum keseluruhannya dibalut dengan bahan PVC dengan hiasan lampu-lampu LED. Paling menarik ialah sebuah televisyen LED Sharp Aquos 42” dipasang pada bahagian belakang perumah woofer tadi. Hasil akhir sistem ni sememangnya seperti apa yang diharapkan dan kereta Myvi ini sering menjadi tumpuan ramai yang kagum dengan cara pemasangan sistem audio dan juga kekuatan bunyinya.