Kalau ada sebuah kereta Nissan yang menyebabkan legasinya tercabar maka ia adalah Almera. Nissan terlalu kerap bertukar lencana sehinggakan sukar untuk menjejak semula model-model mereka. Padahal kereta keluaran mereka pun bagus juga, tidaklah teruk sangat.
Sentra bermula sebagai Sunny kemudian menjadi Sylphy. Di beberapa bahagian benua lain, ia masih dipanggil Sunny sementara Almera?
Ia adalah model yang berasal dari Latio, dikenali Tiida di Jepun dan beberapa nama lain digunakan juga. Tak kisahlah, yang penting kita tak nak bercerita pasal kereta ni. Kita nak lihat apa yang mampu membuatkan sebuah kereta bosan seperti ini boleh berubah menjadi lebih menarik.
Seperti yang dilihat, ia dibina berdasarkan platform sistem audio. Di luar, ia masih sebuah Almera – standard – keluar – kilang tiada apa yang nak kami ceritakan. Tetapi, sistem audio kereta ini dibangunkan dengan cukup berkualiti.
Tidak seperti kebanyakan pembina lain yang gemar memulakannya di bahagian unit utama, pemilik kereta ini meminta kepada installer supaya head unit dikekalkan. Tak jadi masalah sebenarnya asalkan anda tahu bagimana untuk menapis bunyi dan menalanya menggunakan peralatan sekunder.
Kereta ini menggunakan pemproses suara digital Epsilon EP-DSP6 yang merupakan “senjata” utama kepada sistem keluaran bunyinya. Pemain utama tadi bertindak sebagai medium penerima sahaja sementara keluaran bunyi diproses sepenuhnya oleh unit pemproses digital Epsilon EP-DSP6 ini.
Baiklah. Apakah langkah seterusnya? Memandangkan tiada kuasa dihantar dari unit pemain utama, pemilihan amplifier sudah tentu jadi kritikal. Amplifier kelas AB khas untuk SQ berkapasiti 4 saluran Epsilon SQ-4GX dipasang bersama dengan seunit lagi amplifier 2 saluran Epsilon SQ-2GX.
Sistem bunyi kualiti (SQ) pada kereta ini menggunakan konsep sistem 2 hala. Malah kalau diperhatikan di bahagian kabinnya, tidak langsung memberi sebarang gambaran ia digabungkan dengan talaan yang rumit.
Sebenarnya, ia lebih kepada kejituan talaan yang melibatkan pemasangan mid bass 6.5” Epsilon EP-600M. Pemasangan dibuat di dalam perumah buatan khas gentian kaca dengan sepasang kon berkompoun. Ia kemudiannya diposisikan pada lokasi asal di bahagian panel pintu di kedua-dua sisi.
Speaker range penuh (full range speaker) EP-258MD diletakkan pada bahagian Pillar A hadapan. Ia menghamburkan frekuensi tinggi dengan bekalan kuasa diproses menerusi amplifier 2 channel yang disebutkan pada awal artikel tadi.
Melengkapkan sebuah sistem ICE moden sudah tentulah kehadiran wajib woofer. Sistem SQ yang sempurna biasanya didatangkan cukup dengan hanya seunit woofer sahaja. Kereta ini dipasangkan dengan woofer 12” Epsilon EPA-3000S yang dipasangkan di bahagian sisi but kiri.