Pertandingan EMMA Malaysia Heat 2 dan Asia Final 2018 yang berlangsung pada 2 Disember lalu, mencatatkan sejarah baharu untuk pertandingan berprestij itu sepanjang ia mula diperkenalkan di Malaysia. Sebanyak 130 penyertaan diterima yang dijuri seramai 15 orang juri dan berjaya ditamatkan dalam masa hanya satu hari. Di awalnya, pusingan kedua (heat 2) EMMA Malaysia ini dijadualkan pada 1 Disember. Disebabkan beberapa isu yang tidak dapat dielakkan, pihak penganjur terpaksa mengadakan pusingan ini serentak dengan penganjuran EMMA Asia Final 2018.
Berlangsung di One City yang terletak di Subang Jaya, pertandingan ini sekali lagi menjadi tumpuan para penggiat dan pencinta audio kereta yang datang bukan sahaja dari Malaysia, malah dimeriahkan lagi dengan kehadiran para pengunjung dari luar negara. Peningkatan jumlah penyertaan untuk kali ini seperti yang diperkatakan awal tadi, sedikit sebanyak memberi gambaran yang jelas bahawa dunia audio masih lagi diminati dan relevan. Lebih membanggakan, prestasi cemerlang dan audio berkualiti tinggi yang dipertandingkan para peserta menerusi sistem audio masing-masing.
Sebagaimana yang diketahui umum, pertandingan audio kereta EMMA ini mematuhi standard antarabangsa yang menyediakan pelbagai kategori termasuk SQ, ESQL dan ESPL. Diadili barisan juri profesional dari Malaysia dan antarabangsa antaranya seperti Marc Ayes (Filipina), Tim Chan (Filipina), Alison de Ocampo Philippines, Suryadi Susanto (Indonesia), Gennady Litvin Russia, Glen Saitwoitz – Switzerland, Wei Kuo Tung Taiwan dan ramai lagi. Namun begitu, ekoran perubahan tarikh telah menyebabkan beberapa program lain seperti Car Club Gathering & Competition dan kempen menderma darah terpaksa dibatalkan kerana kesuntukan masa.
Dimulakan seawal pukul 7.30 pagi dengan sesi pendaftaran yang dibuka sehingga pukul 8.00 pagi, para peserta mula berkumpul lebih awal untuk menyediakan dan memastikan sistem audio pada jentera masing-masing berada dalam keadaan baik. Para peserta yang gagal mendaftar tepat pada waktunya atau lewat mendaftar telah ditolak markah. Memandangkan persaingan sengit dengan pertambahan penyertaan pada pusingan kali ini, penolakan markah mengundang risiko kerana setiap satu mata itu sangat bermakna untuk menentukan kemenangan para peserta.
Selain berkesempatan menyaksikan kemeriahan pertandingan audio kereta, para pengunjung yang membanjiri tapak acara juga dihiburkan aksi-aksi persembahan tarian yang diiringi muzik dari audio sistem yang dipertandingkan. Malah, kehadiran para penaja yang telah menaja penganjuran pusingan kali ini turut menyemarakkan suasana. Antara barisan penaja yang sudi menaja penganjuran pusingan kedua ini termasuk Hertz, RSWrap Sticker Specialist, Fukuoka, Audison, Focal, Crossfire, Euro Master USA Sputter Film, Micro Precision dan banyak lagi.
Dimulakan seawal 7.30 pagi, pertandingan ini melabuhkan tirai sekitar lewat tengah malam dengan acara penutup penyampaian hadiah kepada barisan pemenang. Seterusnya, para peserta meluangkan masa menghadiri majlis yang dianjurkan sempena berakhirnya pusingan kali ini. Kepada para peminat audio kereta yang terlepas peluang menyaksikan kehebatan pertandingan audio EMMA ini, jangan lupa untuk hadir ke pusingan akhir yang bakal diadakan pada bulan Mac tahun hadapan. Pusingan akhir ini akan diadakan sempena penganjuran Automechanika yang berlangsung di KLCC. Jumpa anda di sana!