Ini adalah kereta Proton paling berprestij pernah dihasilkan. Sejak berpisah dengan Mitsubishi, Proton seakan hilang identiti, nampak macam cuba mencari landasan untuk membina jatidiri sendiri. Menerusi model bebas seperti Proton Waja, Gen2, Persona dan Savvy, Proton telah sedaya upaya mendapatkan rentak lamanya. Saya dapat lihat betapa sukarnya Proton cuba berdiri sendiri. Kesilapannya dalam mempertaruhkan kualiti kenderaan telah membuatkan laluan masa depannya lebih sukar.
Proton masih lagi dilabelkan dengan masalah “power window”, padahal ia adalah masalah yang sangat terpencil pada hari ini. Kredibiliti yang tercalar itu menyukarkannya pemasaran Proton lalu menjejaskan jualannya setiap tahun. Walaupun memiliki produk yang bagus, namun pasarannya sangat terhad kerana tertumpu pada sektor domestik menjadikan Proton sukar untuk bersaing dalam industri automotif.
Saya jatuh hati melihat Preve kali pertama dilancarkan. Mungkin belum rezeki untuk memilikinya lagi tapi impian tetap saya simpan. Bila terlihat pada kereta ini angan-angan itu datang membuak-buak. Menyelak satu demi satu foto yang dirakam juga membuatkan hati gundah-gulana. Kereta ini memang disolek dengan cukup cantik dan kemas!
Sepertimana kereta-kereta terdahulu yang dipaparkan dalam majalah ini, fokus utama yang diberi penelitian sudah tentulah sistem audio. Kereta ini kami temui ketika pertandingan audio anjuran Mace berlangsung di sebuah pusat membeli belah di USJ19, Subang Jaya. Tak keterlaluan saya katakan, dalam kebanyakan pertandingan audio profesional seperti Mace dan anjuran AAA, penyertaan majoritinya datang dari bangsa Cina. Jadi bila melihat brader ini satu-satunya Melayu di situ buat saya kagum. Nampaknya beliau memang mahu bersaing dalam industri yang ‘mahal’ ini.
Kereta ini dipasangkan dengan unit utama pemain DVD 2-din Pioneer AVH-X8650BT. Memacu sebagai penggerak utama, keluaran bunyi diproses oleh pemproses bunyi digital 6 channel RDing RD-DSP631EQ. Hasilan dari tapisan gelombang dan susunan lengkok bunyi ini dikembangkan dengan 2 unit amplifier yang bertindak sebagai pemacu utama.
Amplifier 4 channel Audiobank AB-804A menghasilkan kekuatan bunyi terbaik yang dikeluarkan oleh pembesar suara mid bass Audiobank AB-Z165. Speaker 6.5” ini hampir tidak kelihatan dipasang di dalam konsol speaker asal pada panel pintu. Seperti yang lazim dibuat, pemasangan ini ditebat dengan papan keliling untuk memperkukuhan kekedapan bunyi yang bakal dihasilkan.
Imbangan gelombang mid dan high dihasilkan oleh dua unit tweeter yang didatangkan bersama dengan unit komponen AB-Z tadi. Gelombangnya yang diputuskan oleh crossover jenis pasif yang disorokkan di bawah bahagian papan pemuka pada sudut kiri dan kanan. Tweeter pula dipasangkan dalam perumah custom pada kedua-dua belah pillar hadapan.
Seunit lagi amplifier dipasang untuk memantapkan keluaran bunyi bass. Ia dihasilkan menerusi seunit woofer 12” Audiobank yang dipasangkan kemas dalam kekotak custom dengan balutan warna merah mendominasi setiap bahagian but kereta ini. Amplifier monoblok Audiobank AB-1140D ini bukan sahaja menampilkan kuasa, tetapi gayanya juga terserlah menerusi paparan papan perspex terhadap penampilan kesemua unit utama dalam komponen audio ini.
Kerja balutan, binaan kekotak, LED, trim custom pada sudut-sudut sukar adalah contoh kualiti sesebuah kereta dibina. Nampak begitu kemas dan setiap bahagian memperlihatkan fungsi tersendiri. Gabungan warna merah memang berpadanan dengan tema badan Preve impian saya ini.
Walaupun kebelakangan ini sambutan dalam dunia audio agak suram gara-gara kesan implementasi GST, ia tidak menjejaskan kaki hardcore audio dengan hobi mereka. Hari ini, saya baru pulang dari salah satu pengiklan tetap kami dan baru diberitahu beliau baru menyiapkan sebuah Vellfire dengan sistem audio bernilai lebih RM200,000. Betul. Luarbiasa? Entahlah.