Berkhidmat dan bertugas di Pejabat Kesihatan Kangar, Akbar Bin Kamis merupakan salah seorang penggemar dan penggiat dunia audio kereta yang sentiasa menyemarakkan setiap acara dan aktiviti permotoran yang diadakan khususnya di bahagian Utara Malaysia. Murah dengan senyuman, Akbar tidak lokek berkongsi tentang kereta miliknya yang dipasangkan dengan sebuah sistem audio yang lengkap. Apa yang melintas fikiran anda sekiranya bertemu Myvi ini di mana-mana? Sekali pandang, pasti anda tidak dapat membayangkan sistem audio yang menghiasi kereta Myvi ini.
Akbar telah memilih dua gabungan warna, jingga dan putih tetapi sengaja dibiarkan kosong tanpa pelekat watak komik atau apa-apa jenama, membuatkan Myvi ini berdiri dengan elegan. Berbanding kereta audio yang sering menyertai mana-mana segmen Autoshow kebanyakannya menggunakan pelbagai tema tetapi tidak untuk Myvi milik Akbar. Hanya pelekat Auto Sound ditampal di kedua-dua belah skirt dan bumper belakang kereta. Akbar bukan satu-satunya pemilik kereta yang bergiat aktif dalam dunia modifikasi yang membiarkan kereta tanpa pelekat atau tema tertentu, tapi melihat Myvi ini dibiarkan kemas sangat menenangkan mata.
Mula melibatkan diri dan bergiat aktif dalam persada dunia audio kereta sejak tahun 2009, Akbar yang kini berusia 34 tahun sangat menggemari dan meyakini jenama audio keluaran Thailand. Justeru, Akbar telah memasang dan membina sistem audio pada Myvi ini dengan barangan audio dari Thailand. Sudah tentu, ramai di antara anda yang tidak mengenali dan mengetahui tentang jenama-jenama ini. Namun begitu, Akbar lebih arif tentang prestasi jenama-jenama ini yang mendorong beliau memasangnya pada sistem audio seterusnya menyertai pelbagai pertandingan. Bak kata orang, hanya jauhari yang mengenal manikam.
Jika diperhatikan, Akbar tidak menggunakan banyak aksesori audio dan memilih sistem talaan SPL yang cukup untuk mengisi setiap ruang dalam Myvi ini. Sistem audio yang menerima sentuhan UTI Audio yang beroperasi di Sungai Petani ini telah dimulakan dengan pemain utama 2-din Caliber CDU-620TV bagi menggantikan stok asal. Di bahagian hadapan, terdapat terdapat mid bass dan tweeter yang dipasangkan di kedua-dua belah panel pintu. Kedudukan mid bass dan tweeter ini mengambil kira paduan bunyi yang sampai kepada pemandu. Tidak mengabaikan penumpang belakang, Akbar turut memasang mid bass dan tweeter yang sama di kedua-dua belah panel pintu. Bezanya, penumpang di belakang bertuah sikit kerana dihidangkan dengan monitor.
Kecemerlangan sistem audio Myvi ini diteruskan lagi dengan binaan sebuah perumah custom made yang dipasangkan di bahagian belakang atau tepat lagi, di bahagian bonet. Perumah yang dibina dengan cukup unik ini menempatkan 4 unit mid bass DK dan dua unit tweeter. Di bahagian bawah pula ditempatkan sebuah perumah yang dipasangkan dengan kaca kaca arkilik sebagai penutup yang menempatkan dua unit woofer. Woofer ini pula dipasangkan secara terbalik bagi menghasilkan bunyi bass yang lebih padat. Kesemua unit ini dikuasakan oleh seunit amplifier DTS. Selain itu, UTI Audio turut memasang perumah khas yang menempatkan 7 unit monitor.
Bagi menyempurnakan kereta Myvi ini, Akbar telah memilih tema VIP dan tampil sepadan secocok dengan sistem audio yang dipasangkan. Diperkemaskan dengan gabungan jingga dan putih, Akbar turut meletakkan beberapa aksesori tambahan seperti yang sinonim dengan tema VIP ini. Myvi milik Akbar ini bukan sahaja sesuai untuk menyertai pertandingan atau memeriahkan lagi mana-mana acara, malah ia juga boleh digunakan sebagai kereta harian kerana tidak banyak ruang yang dikorbankan. Tambahan pula dengan luarannya yang dikenakan dengan modifikasi minima serta tampil ringkas tanpa pelekat yang bukan-bukan, sesiapa sahaja boleh memandunya ke mana-mana sahaja. Itupun kalau Akbar bagi pinjam. Betul tak?
























