Ketika orang sibuk membuat persiapan bercuti, kami di pejabat sibuk mengejar dateline. Disebabkan jadual yang padat, kami terpaksa bertolak ke Ipoh untuk sesi fotografi dengan beberapa buah premis dan deretan kereta. Kami terpaksa memilih jalan bukan lebuhraya untuk ke Ipoh, itupun berpandukan seorang pemandu yang agak arif dengan jalan-jalan yang tak pernah seumur hidup saya tempuh.
Alhamdulillah, setelah 6 jam, kami sampai ke Ipoh, hahahahaha! Ini memang kerja gila sebab beberapa janji temu tidak jadi dan kami berpusing dari satu daerah ke daerah lain dan akhirnya sampai ke Ipoh menjelang tengahari. Nasib baik juga pemilik Vios ini arif dengan kawasan sekitar dan membawa kami ke lokasi taman yang agak redup. Kalau tidak, tak boleh nak bayangkan bagaimana sesi ini akan berlangsung dalam cuaca yang agak panas.
Pencarian seterusnya menemukan beberapa lagi buah kereta yang akan kami siarkan dalam episod akan datang. Sebagai permulaan, Vios ini adalah contoh kereta buatan khas untuk tujuan pertandingan dengan sistem 3 hala yang sempurna. Bermula dengan pengubahsuaian sambilan, ia menjadi sebuah sistem yang benar-benar kompleks dalam menghasilkan sebuah kereta berteknologi SQ dalaman yang berkualiti tinggi.
Semua bermula dengan pemain berteknologi tinggi Pioneer DEX-P99RS. Sebagai sebuah pemain flagship Pioneer yang mempunyai reputasi tinggi dalam bidang SQ, P99RS tidak diragui lagi adalah calon yang terbaik untuk memproses muzik yang jelas, terang dan harmoni. Pemain ini disambungkan dengan kabel RCA berkualiti tinggi, bertebatan khusus dan kabel isyarat kuasa yang sentiasa menjamin kualitinya sebagai pemproses utama yang diharapkan.
Pemilihan sistem 3 hala memang tepat jika anda mahukan sebuah sistem kualiti bunyi yang terbaik. Namun pemilihan speaker juga tidak kurang pentingnya. Justeru, gandingan unit dari Audio System dipilih dari model panel pintu mid 6” HX165 Phase MKII, unit pillar mid 4” HX100 Phase dan juga 2 unit tweeter yang berkongsi perumah dengan mid 4” tadi. Pemasangan mid dan tweeter tadi dibuat pada pillar custom yang kemudiannya dibalut dengan kulit baldu lembut dan jahitan yang seragam. Sesetengah installer tidak menggemari pemasangan penutup speaker namun sebagai langkah keselamatan, mid kereta ini dilindungi jaring penebat supaya bahagian konnya dilindungi.
Kesemua speaker ini mendapat kuasa daripada amplifier Mosconi. Ia bukanlah jenama baru dan bukan juga jenama murah. Ia seangkatan dengan Rainbow, Focal, Morel, Hertz, JL Audio dan McIntosh. Ia buatan Itali sepenuhnya dan jika anda mahukan seunit amplifier yang berkuasa, stabil dan tiada distorsi, ini mungkin salah satu calonnya. Unit tweeter mendapat kuasa dari 2 channel Mosconi AS200.2, Sementara mid 4” dan 6” pula dipacukan amplifier 4 channel Mosconi AS200.4.
Seunit lagi amplifier yang digunakan adalah amplifier 2 channel Mosconi AS300.2 digunakan untuk memandu woofer Audio System. Woofer ini tidak dicipta untuk mencatatkan desibel tertinggi dalam SPL, sebaliknya bertindak sebagai unit memenuhi ruang yang ditinggalkan oleh band rendah. Sekuat mana pun volum yang dipasang, pemotongan frekuensi telah ditetapkan secara automatik.
Bila digabungkan dengan pemain P99RS tadi, woofer yang dipasangkan dalam but belakang ini boleh ditala serapat mungkin ke staging di hadapan. Dalam bahasa mudahnya, anda tidak akan dapat mengecam lokasi sebenar woofer ini tatkala mendengar alunan muzik di kerusi pemandu. Inilah yang dikatakan seni pemasangan yang kreatif dan bijak. Hanya pemasang sahaja mampu memikirkan tempat yang sesuai untuk memastikan staging yang tepat. Dan ia juga bukan hanya berkaitan kreatif tetapi juga memerlukan kemahiran pendengaran yang tinggi. Kemahiran ini pula bukan hanya mampu dimiliki dalam masa yang singkat, melainkan memang anda memang dianugerahkan ‘bakat’ semulajadi!
Keunggulan sebenar sistem SQ untuk pertandingan akhirnya diukur dengan kekemasan pemasangan secara kerseluruhan. Ia sudah menjadi lumrah nukilan seni dalam dalam dunia ICE. Ibarat makanan yang enak dihidangkan dengan hiasan yang menawan. Perlu untuk menarik psikologi juri.
Susunan amplifier dan kekotak woofer dalam but Vios ini memang cukup sempurna dan senada. Penggunaan garis neon halus di sekeliling but dan juga tempelan dinding belakang yang kemas memastikan keseluruhan pakej kereta ini ditempa dengan tema ICE yang berkualiti.