Suzuki di Malaysia adalah Suzuki jenama tradisi. Suzuki pernah ‘hilang’ ketika jenama ini bernaung di bawah Lion Suzuki yang juga terlibat dalam perniagaan motosikal Suzuki. Promosinya menyedihkan. Barisan model yang dijual juga hanya berkisar sekitar Vitara, Jimny sedikit Swift dan Liana (Aerio). Pusat 3S yang disediakan juga boleh dibilang dengan jari. Ia sama seperti Mazda yang dijual di bawah Cycle and Carriage dan Naza, perlahan atau dalam ayat yang lebih mudah, sangat lembab.

Sebagus mana jenama kereta, tetapi dengan corak pemasaran yang salah, ia akan kecundang juga. Pelajaran pertama ialah Suzuki, kedua ialah Mazda (kini dibawah Bermaz – sukses!) Kalau ada sebuah jenama Jepun yang masih ketinggalan di Malaysia, ia adalah Subaru.
Jadi bagaimana Swift boleh jadi sangat laris dan boleh dilihat setiap hari di jalanraya? Pertama, ia dijual pada harga mampu milik untuk sebuah hatchback yang sangat comel. Kedua, selepas dipasangkan di kilang DRB HICOM di Pekan Pahang, kereta ini boleh dibeli pada harga lebih murah dari Vios dan City. Sesuatu yang tidak pernah terjadi dalam tempoh sedekad yang lalu.

Tidak hairanlah, Swift yang satu ketika dahulu dikaitkan dengan imej feminin kini berubah karekteristik bila model Swift Sport dibarisi dalam generasi yang sama. Ia bukan lagi feminin, tetapi jadi fenomena yang mana kalau anda biasa bertemu kelab Swift berkumpul, memang amat ramai.
Walaupun kecil, ia adalah hatchback yang selesa dipandu bersama tiga penumpang dewasa. Bukan itu sahaja, jika anda tanyakan pada pemilik Swift hitam ini, beliau tak ambil pusing pasal selok-belok teknikal kereta ini, tetapi bila mula berbicara tentang audio, nah, seminggu belum tentu habis bercerita!

Dibina untuk satu tujuan, pertandingan audio kategori SQ. Hingga bulan November 2010, pelbagai pingat telah dipungut. Setakat ini, rekod kejayaannya sukar digugat. Pemain-pemain audio SQ biasanya kenal Swift ini dan orang-orang baru lazimnya berfikir panjang untuk berentap dengan kereta ini dalam mana-mana pertandingan.
Apakah yang menjadikan ia begitu sempurna? Sistem yang betul adalah satu perkara yang wajib. Mendahului sistem ini ialah pemain utama Pioneer DEX-P99RS. Selain ODR yang berharga berbelas ribu, P99RS adalah lebih dari cukup untuk sebuah kereta biasa yang dibina untuk sistem bunyi aktif. Memiliki sistem sebegini adalah kelebihan buat pemain SQ tegar bagi membolehkan setiap digit talaan frekuensi dibuat dengan cepat, semudah menekan satu butang.

Rahsia utama punca kuasa audio Swift ini terbenam dalam but belakangnya. Ruang tayar ganti dimanipulasi dengan menempatkan dua unit amplifier Phoenix Gold dan 2 unit kapasitor 2.0 farad. Amplifier pertama yang digunakan merupakan edisi terhad Phoenix Roadster66. Bertugas sebagai sistem utama membekalkan kuasa kepada sistem 3 hala.

Penggemar talaan SQ lebih cerewet dalam memilih aksesori yang sempurna. Bukan hanya kerana nama, tetapi mendahulukan kualiti dan reputasi yang dipegang jenama tersebut. Sepertimana talaan SPL yang dikenali kerana kekuatan bass, sistem SQ pula mendahulukan suara. Banyak jenama yang boleh dijadikan sebagai rujukan utama. Antara yang menduduki carta, pastinya Audio Development atau lebih dikenali sebagai AD.

Seangkatan dengan jenama lain seperti Audison, Audio Development turut dianggap sebagai pakar talaan SQ. Untuk mendefinisikan bunyi sempurna, kereta Swift ini dipasangkan dengan set 3 hala Audio Development. Sistem speaker yang digunakan terdiri daripada 2 unit tweeter ADMM1, 2 unit mid range 4” ADMM4 dan 2 unit mid bass 6” ADMM6.

Posisi pemasangan sistem 3 hala ini dibuat sebagaimana lazim iaitu tweeter dan mid range dipasang pada pillar A. Memandangkan pillar Swift ini sekecil saiz kereta, perumah pillar custom dibuat bagi menempatkan speaker tersebut. Hasil yang boleh dilihat ialah kerja kemas bagi menampung sejumlah speaker yang agak berat jika menggunakan pillar aftermarket.

Sistem ini diakhiri oleh seunit woofer ADMM12 iaitu woofer bersaiz 12” yang dipasangkan dalam kekotak binaan khas mengikut dimensi yang ditetapkan. Kotak ini bukan boleh dibeli di kedai aksesori kerana ukurannya telah disiapkan khusus untuk menghasilkan dentuman yang dikehendaki. Kuasa yang memacu woofer ini pula datang dari amplifier 2 channel Phoenix Gold RSD250.2. Cukup? Sebab itulah kapasitor MD2.0 diperlukan di situ.
Kereta ini juga tidak dilupakan dari sudut estetik, bahagian luarannya dipasangkan dengan bodykit Swift Sport. Bersamanya ialah cermin sisi ala Craft Square, bonet depan gentian karbon dengan skup udara dan rim 17 inci serta direndahkan. Kesimpulannya, kereta ini cukup sporty.

Mendapatkan hasil akhir begini adalah dilema yang sukar diperolehi. Peralatan adalah satu perkara, duit adalah perkara yang lebih mustahak namun penalanya juga perlulah seseorang yang berpengetahuan. Jika tidak, pelaburan akan jadi sia-sia kerana sistem RM30 ribu mungkin dinilai untuk RM3 ribu sahaja. Anda boleh faham maksud saya?



























