Perkarangan Stadium Darul Aman Kedah meriah dengan pelbagai kegiatan melibatkan dunia permotoran apabila dijadikan sebagai lokasi berlangsungnya Karnival Permotoran Kedah. Dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kedah, karnival ini telah dipertanggungjawabkan kepada GM Event Management.
Bagi tidak menghampakan amanah yang diberikan pihak penganjur, pelbagai aktiviti disediakan seperti Demo Drift, pertandingan Autoshow dan Audioshow kereta, pertandingan Kereta Retro, pertandingan Motosikal Cantik serta pameran gerai-gerai jualan pelbagai agensi kerajaan. Lebih istimewa lagi, karnival ini turut menyelitkan segmen Sesi Dialog bersama usahawan yang juga pengacara terkenal, Dato’ AC Mizal.