Bertemakan Segalanya Durian, Ekspo Tani Johor dan Pesta Buah-Buahan Negeri Johor 2019 yang diadakan selama 3 hari bermula dari 28 hingga 30 Jun lalu berlangsung dengan cukup meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung. Bertempat di Padang Awam Majlis Perbandaran Segamat (MPS), ekspo anjuran Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Johor ini turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik.
Selain aktiviti yang melibatkan pertanian khususnya berkaitan durian seperti Pertandingan Durian Unggul dan Jualan Longgok, ekspo dihangatkan lagi dengan aktiviti lain seperti pertunjukan busker, pertandingan karaoke, cabutan nombor bertuah dan banyak lagi. Tidak ketinggalan, segmen autoshow untuk para pencinta dunia permotoran. Diadakan pada 29 Jun, pertandingan autoshow ini menyediakan 4 kategori dan menawarkan hadiah tunai, trofi dan juga sijil penyertaan.
Manakala 4 kategori yang disediakan sempena pertandingan autoshow kali ini adalah Perodua Modified, Proton Modified, Open Modified dan Extreme Modified. Pertandingan autoshow ini sekali gus memeriahkan lagi tapak ekspo dengan keunikan barisan kereta yang dimodifikasi sentuhan kreatif serta berjaya memukau para pengunjung yang meluangkan masa menghadiri Ekspo Tani Johor ini.