Pejabat Penyelaras DUN Kijal telah menganjurkan Karnival Kijal Sejahtera yang berlangsung selama 3 hari bermula dari 24 Januari sehingga 26 Januari yang lalu. Bertempat di Bandar Baru Kijal, karnival ini mendapat sokongan dan tajaan dari JUBIMAS dan Tawfir Travel Tours serta kerjasama dari PUPNT, Budak Kereta Geng Kita (BKGK) dan banyak lagi. Pelbagai aturcara menarik telah disediakan bagi memeriahkan lagi penganjuran karnival ini.
Bersesuaian dengan nama Karnival Kijal Sejahtera, pihak penganjur bukan sahaja menyediakan aktiviti berbentuk hiburan malah turut memberi ruang khas untuk perniagaan serta mengisi aturcara dengan pengisian rohani. Antara aktiviti yang berjaya menarik sambutan dan menerima kunjungan orang ramai termasuk Bicara Murabbi yang diadakan pada 24 Januari dan Santai Petang bersama personaliti seperti Mat Dan pada 25 Januari.
Pihak penganjur turut memastikan aturcara yang disediakan dapat disertai setiap lapisan masyarakat termasuk golongan belia khususnya para peminat dunia permotoran. Antara aktiviti khas yang disediakan untuk golongan belia dan remaja termasuk pameran basikal lajak, pertunjukan silat, Fun Ride Kijal Sejahtera dan banyak lagi. Manakala untuk para pecinta dunia permotoran, satu segmen khas telah disediakan dan diadakan pada 26 Januari bersamaan hari Sabtu.
Dimulakan seawal 9.00 pagi, segmen ini telah diselaraskan oleh MJ Steady Oil Engine, BKGK, PUPNT dan juga Asam Pedas Teratak Corner Kemaman. Seperti biasa, segmen permotoran tidak pernah menghampakan dengan menyediakan pelbagai aktiviti seperti Audioshow, Autoshow dan juga Limbo Stance. Lebih menarik lagi, aktiviti sukaneka untuk kanak-kanak turut disediakan sekali gus memeriahkan lagi segmen permotoran ini.
Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur yang berusaha sehabis baik untuk memastikan acara permotoran ini berjalan dengan lancar. Terima kasih juga diucapkan kepada kelab-kelab yang sudi memeriahkan lagi acara sekali gus menyemarakkan lagi penganjuran Karnival Kijal Sejahtera 2019 ini. Antara barisan kelab yang telah hadir adalah WOCEC, TNCT, CVTM, SIMC, SIC, CWM, EXOKEM, FLOC, WIBC, GWFM, VCC, GSH, CMG, MIOC, PSPT dan banyak lagi.