Kedua-dua kereta ini memang dah lama dalam simpanan. Hampir setiap bulan jugalah saya kena mintak maaf bertimbun-timbun kepada unit fotografi yang tak pernah lupa mengingatkan. Bukan sengaja nak dilambatkan tetapi giliran belum tiba. Ada beberapa lagi kereta audio yang masih menunggu giliran untuk disiarkan. Kepada tuan pemilik kereta yang pernah ikuti sesi fotografi dengan kami, sekali lagi saya mohon maaf. Kalau sebelum PKP dulu sibuk, lepas PKP sibuknya berganda. Apa yang penting, syukurlah masih punya kerja. Setuju?

Saya masih ingat lagi sewaktu mula-mula gambar ini diserahkan oleh unit fotografi, agak teruja dan terkejut jugak dibuatnya. Dua buah kereta dibina dengan kelengkapan sistem audio penuh yang dimiliki oleh seorang pemilik. Kalau sepuluh tahun dahulu, ia perkara biasa. Bukan setakat dua, ada yang simpan buat koleksi. Satu talaan SPL, satu talaan SQ dan sebuah lagi menggabungkan kedua-duanya. Zaman itu, Malaysia dipenuhi peminat audio yang memang gila-gila dan berani mencuba!

Apabila ditemukan dua buah kereta dengan sistem audio lengkap begini seakan berjumpa kekasih lama dan dapat melepaskan segala rindu dendam. Ah, begitulah kalau nak diibaratkan. Pastinya bukan saya seorang yang merasakan sedemikian. Sebelum datangnya wabak pandemik covid-19 lagi, dunia audio kereta tempatan sudah kemuraman. Bertambah murung apabila segala aktiviti terpaksa ditangguhkan. Baru beberapa hari lalu dikhabarkan banyak aktiviti yang sudah boleh dianjurkan dengan syarat, harus mematuhi SOP yang ditetapkan.

Baiklah, kedua-dua kereta dengan warna yang cukup menarik hijau dan unggu ini kepunyaan Mohd Zaire Bin Murat atau lebih dikenali di kalangan peminat audio sebagai Zack Sate. Beliau yang menetap di Sungai Petani merupakan seorang peniaga dan mula bergiat aktif dalam dunia audio serta modifikasi sekitar tahun 2007. Bila sebut Sungai Petani, pasti ramai sudah dapat menjangka installer yang bertanggungjawab membina sistem audio ke atas kedua-dua kereta milik Zack Sate ini. Ya, siapa lagi kalau bukan UTI Audio Sungai Petani.

Kita bermula dengan sistem audio yang dipasangkan ke atas kereta Iswara 1.3 tahun 1994. Sebelum itu, anda tentu tidak menjangka yang kereta berwarna hijau ini sebenarnya sebuah Iswara. Walaupun bukan peniruan yang sempurna tetapi Zack Sate membuat pemilihan bodykit yang tepat dan hampir menyerupai Skyline GTR khususnya di bahagian belakang serta bahagian hadapannya. Kalau bukan kategori sistem audio, sesuai benar Iswara ini memasuki pertandingan autoshow dan kebiasaannya kereta yang bertanding pun bukan calang-calang.

Kalau exterior mampu buat ramai angkat kening, sistem audio yang menghuni dalam Iswara ini tidak kurang hebatnya. Bagi memasang sistem audio talaan SPL ke dalam kereta Iswara Skyline ini, seluruh kerusi penumpang di bahagian belakang dicabut keluar. Ruang ini digunakan oleh installer untuk membina sebuah perumah khas yang mengisi beberapa sistem audio. Tidak banyak aksesori audio mengisi di ruang dalam kereta ini kecuali dua unit mid bass Audio Quart yang dipasangkan di kedua-dua belah panel pintu jenis gunting (scissor).

Menjenguk ke bahagian belakang Iswara ini, terpampang gugusan speaker yang terdiri daripada woofer, mid bass dan tweeter. Sebanyak 4 unit woofer PA 12” Number One telah digunakan dan ini mengingatkan kembali kepada zaman otai-otai pencinta audio dari utara yang pernah menghiasi majalah Kar HiFi. Ramai pencinta audio di sana yang gemar menggunakan woofer PA ini. Apa cerita penggemar sistem audio PA di sana ya? Masih lagi aktif bermain audio atau dah bersara? Harap mereka terus mewarnakan dunia audio dan beri tunjuk ajar kepada generasi baru yang nak berjinak-jinak dalam dunia audio tempatan.

Selain woofer PA tadi, installer turut memenuhkan ruang ini dengan 6 unit mid bass yang terdiri daripada 4 unit mid bass Audio Quart dan 2 unit mid bass DK, diikuti dengan 4 unit tweeter. Hanya dua unit amplifier digunakan iaitu seunit amplifier 4 channel MDS dan seunit amplifier monoblock dari Audio Quart. Kedua-dua unit amplifier ini ditanam dalam lantai, secara tidak langsung masih ada ruang untuk letak barang. Itupun kalau ada barang yang nak diletak. Selain itu, installer turut menggunakan pre-amp Audio Quart dan Zack boleh menala mengikut citarasanya pada bila-bila masa!

Selesai sistem audio Iswara, kita beralih ke sebuah lagi kereta audio Zack Sate iaitu sebuah Persona 1.6 tahun 2010 yang dilayangkan pula dengan warna unggu. Tidak seperti Iswara tadi, Persona ini tampil lebih ringkas dan saya suka akan gabungan warna unggu dan putih (rim) dari jauh nampak sangat kemas serta bersih. Jika Iswara tadi dikorbankan keseluruhan bahagian tempat duduk penumpang, berbeza pula dengan Persona ini. Bahagian tempat duduk penumpang masih dikekalkan malah dibiarkan selesa. Hiasan kereta-kereta mini di atas dashboard juga nampak menarik. Bercakap tentang sistem audio dalam kereta Persona ini, Zack masih memilih sistem audio talaan SPL tetapi tetap meminimakan pemasangan aksesori audio di bahagian dalam.
Sebagaimana sistem audio yang dipasangkan dalam kereta Iswara, installer menggunakan ruang dengan bijak di bahagian tempat letak barang. Apa yang seronoknya, di bahagian ini tampil lebih elegan. Bukan sahaja kemas. Pemasangan ‘peti’ dengan kaca arkilik yang dibuat khas untuk menempatkan 2 unit woofer 12” MDS menarik perhatian saya. Dipasangkan secara terbalik bagi memberikan impak bass yang lebih besar.

Woofer ini ditemani 4 unit mid bass Audio Quart dan 2 unit tweeter sekali gus melengkapi sistem audio Persona ini. Bagi memacu kesemua speaker yang ada, installer telah memasang amplifier Ameron dan juga 2 unit pre-amp yang terdiri daripada seunit pre-amp 7 band Pegasus dan seunit pre-amp Free Power. Bagi menjaga sebuah kereta dengan sistem audio yang lengkap, bukan sesuatu yang mudah. Satu pujian harus diberikan kepada Zack Sate kerana masih bersemangat meneruskan minat terhadap audio kereta. Mungkin selepas ini, akan ada perubahan yang dilakukan ke atas kedua-dua keretanya? Kami harapkan begitu. Steady lah Zack Sate!

Pengeluar
Proton
Model
Iswara 1.3 (1994)
Persona 1.6 (2010)
Head Unit
– 2 din
Amplifier (Iswara)
– 1 unit amplifier 4 channel MDS
– 1 unit amplifier monoblock Audio Quart
Speaker
– 4 unit mid bass Audio Quart
– 2 unit mid bass DK
– 4 unit tweeter
Woofer
– 4 unit woofer PA 12” Number One
Setting
SPL
Amplifier (Persona)
– amplifier Ameron
Speaker
– 4 unit mid bass Audio Quart
– 2 unit tweeter
Woofer
– 2 unit woofer 12” MDS
Setting
SPL
Pusat Pemasangan
– UTI Audio, Sg Petani (Audio)
* Gambar oleh : Pak Art









































