Sound Perfectionist
Dalam dunia ICE ni tiadakah kereta lain selain Vios? Kalau tak salah kira, bulan ni saja saya menulis mungkin 5 buah kereta Toyota Vios (lepas siap yang ini pun Vios lagi akan menyusul!). Apakah petandanya semua ini? Mungkinkah mereka macam tahu-tahu saja yang saya memang tengah berangan nak beli Toyota Vios menggantikan Myvi yang semakin tua itu?

Vios memang sebuah produk millenia yang berjaya dari Toyota. Bukan sahaja di Asia, di benua Amerika dan Latin sekalipun, kereta ini kerap menjadi pilihan kenderaan seperti teksi dan kenderaan syarikat. Monopoli ini bukan sahaja kerana tag Toyota tapi memang semenjak Corolla menjadi semakin premium, Vios berjaya menggantikan kedudukan tersebut. Pergi sahaja ke Indonesia, Vios mungkin 90 peratus dari pilihan pengusaha teksi di sana.

Enjin 4 silinder 1NZ-FE yang dipasangkan untuk model ini menjadikannya daya tarikan pembeli. Tahan lasak dan digabungkan dengan rekabentuk badan yang ringkas dan menarik. Seperti yang saya perkatakan tadi, kereta ini tidak banyak yang perlu dijaga dan dibelai. Masuk kereta, pulas kunci, enjin hidup dan bawanya kemana sahaja. Saya ada seorang jiran yang membeli kereta ini di pasaran tahun lepas dan tidak pernah menggantikan minyak pelincirnya sampai ke hari ini. Bukti bahawa kejuruteraan enjin ini memang lasak.

Tapi dalam halaman ni kita tidak akan menceritakan hal-ehwal kereta. Sebaliknya, sistem audio yang dipasangkan padanya. Mendahului sistem kelengkapan Vios putih ini ialah pemain aktif Pioneer yang terkenal DEH-80PRS. Pemain dengan fungsi amplifier bina-dalam, pembahagi frekuensi pelbagai titik, penjajar masa dan sesaran pemusatan bunyi yang cemerlang ini menamatkan pilihan pelaras sekunder pre-amp atau pemproses digital yang lain.

Pemain ini terus sahaja disambungkan dengan dua unit amplifier Target Audio; TA-74.4 dan TA-120.2. Masing-masing dengan keluaran kuasa 4 saluran 75watt RMS (75X4) dan seunit lagi 120X2, bermaksud 120 watt setiap channel untuk dua saluran. Walaupun sistem kereta ini agak ringkas tetapi kesempurnaan pemasangannya tidak diabaikan. Ya, kesempurnaan yang diutamakan. Kedua-dua amplifier ini digandingkan bersama dalam kotak woofer di belakang. Di tengah-tengahnya ialah seunit woofer dual-magnet 1200 watt Stellar. Kon woofer ini dihalakan terus ke bahagian luar menjadikan kebuk buatan kayu tersebut padat dengan sumber bunyi bass yang optimum.

Seunit lagi amplifier dipertanggungjawapkan untuk memancarkan kuasa kepada set komponen di hadapan. Sistem dua hala di kabin ini menggunakan set speaker mid bass dan dua unit tweeter daripada Target Audio TDK-165. Tiada yang berbeza dari sistem yang biasa kita lihat. Dua unit mid dipasang menggantikan lokasi panel speaker di bahagian pintu sementara dua unit tweeter dipasang dalam perumah rekaan khusus menerusi kerja fabrikasi pada penutup pillar A depan.

Zaman pengubahsuaian sistem audio nampaknya agak suram untuk beberapa waktu kebelakangan ini. Beberapa hari ni saya sengaja mengisi waktu dengan mengikut jabatan pemasaran dan jelas dari apa yang saya lihat pasaran audio dan aksesori belum pulih sepenuhnya dari kelembapan sejak 2 tahun lepas. Kebanyakan pengedar dan bergantung sepenuhnya pada pasaran sedia ada kerana pasaran baru nampaknya sukar ditembusi.

Had pengubahsuiaan kereta-kereta baru dikatakan menjadi punca pasaran audio semakin menguncup. Mungkin itu realiti sebenar yang berlaku yang kita tidak sedar. Sebenarnya ia tidak bagus untuk perkembangan ekonomi tempatan. Segalanya tentang kuasa beli dan pasaran. Jika polarisasi ini tidak berubah dalam tempoh lima ke sepuluh tahun akan datang, tidak mustahil kami juga boleh gulung tikar!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 44




























