Model Skoda Fabia ini jelas sekali merupakan sebuah model kompak yang cukup penting buat pembuat dari Republik Czech. Ibaratnya model cari makan. Ianya adalah sebuah model yang bersaudarakan model Volkswagen Polo, dek kerana ianya berkongsi pelantar yang sama.
Sementelah model Fabia generasi ketiga kelihatannya cukup popular di serata dunia, terima kasih kerana penglibatannya dalam dunia rali telah kelihatan agak ‘tua’ (mula dikeluarkan daripada tahun 2014 – 2021), kini sudah sampai masa dan ketikanya generasi keempat meneruskan legasi kecemerlangan jenama Skoda Fabia ini.
Skoda Fabia serba baharu ini yang dijangka memulakan produksi massa pada penghujung 2021 ini dibina berdasarkan pelantar MQB-A0, yang mana model milik Kumpulan Volkswagen seperti Polo Mk6 dan Skoda Kamiq turut dibina berdasarkan pelantar yang sama. Untuk generasi Fabia yang baharu ini, ianya telah mengalami beberapa perubahan dimensi.
Skoda Fabia kini sedikit besar dan lebar berbanding generasi ketiga. Ianya 111mm lebih panjang dan juga 48mm lebih lebar daripada model sebelumnya. Malah Skoda juga mendakwa ruangan penyimpanan belakang kini mempunyai lebih 50 liter berbanding generasi ketiga.
Penampilan hadapan Skoda Fabia ini tidak sukar untuk kita menduga bahawa ianya adalah keturunan daripada Skoda terutamanya dengan rekaan gril. Dan tahukah bahawa model ini mempunyai kadar pekali seretan 0.28 sekaligus memberikan kadar aerodinamik yang lebih baik.
Bahagian ruangan kabin Skoda Fabia ini turut dilengkapi dengan skirn sesentuh bersaiz 9.2 inci serta meter kluster digital bersaiz 10.25 inci, buat pertama kalinya digunakan untuk model Fabia. Bolehlah kalau nak pilih paparan jenis klasik atau pun yang moden punya. Paling penting, ruangan papan pemuka nampak tidak terlalu serabut. Lebih kepada gaya minimalis.
Dari segi ciri keselamatan, sudah tentulah kena gelak jikalau hanya mempunyai dua beg udara sahaja. Dan Skoda Fabia baharu ini mempunyai sembilan beg udara untuk melindungi pemandu dan juga kesemua penumpang. Ciri – ciri kereta moden seperti Adaptive Cruise Control dan juga Blind Spot Detect memang dah tersedia. Kira tidak kalahlah dari segi ciri yang sepatutnya ada pada sebuah kereta zaman sekarang ini.
Trenkuasa pula terdapat lima pilihan yang bakal ditawarkan kepada pengguna. Ada dua pilihan enjin 1.0 liter ‘biasa’ serta dua enjin 1.0 liter TSI untuk dipilih yang mana masing masing menghasilkan kuasa sekitar diantara 64 HP hingga 109 HP. Bagi yang inginkan lebih sedikit kuasa terhadap model yang rekaannya tidaklah terlalu garang ini, boleh memilih varian tertinggi dengan enjin 1.5 liter yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 148 HP dengan padanan kotak gear DSG tujuh kelajuan.
Walau pun Skoda Fabia ini secara kasarnya kelihatan sedikit ‘lembut’ berbanding saudaranya si Polo itu baik dari segi rekaan dan prestasi, namun Skoda dijangka turut memperkenalkan varian Monte Carlo yang umumnya mengetahui sebagai varian Fabia yang lebih berkuasa berbanding model sedia ada.
Sumber : Mekanika