
Penangan yang dibawa Mitsubishi terlalu hebat! Kehebatan itu sehingga membuatkan sebahagian besar pecinta kereta melenyapkan budaya mengagungkan kereta buatan barat seperti Mercedes mahupun BMW. Lantas terwujudlah keseimbangan di antara kedua-dua kuasa besar pengeluar kereta paling berpengaruh dunia. Kegilaan terhadap kereta buatan Jepun ini mula menunjukkan taring sejak pengeluaran kereta pertama model Evolusi Lancer pada tahun 1992. Sekaligus memberikan tempias dan mencetus revolusi terhadap modifikasi kereta.
Jika diperhatikan dalam masa tidak sampai setengah jam, bukan sesuatu yang sukar untuk mengira sepuluh buah kereta Evolusi Lancer yang berada di atas jalanraya. Baik dari model pertama sehinggalah yang terkini, Evolusi X. Tidak kurang juga, hampir di setiap ceruk pasti akan ada penyalinan model ini dilakukan. Dan model yang paling serasi dipakaikan Evolusi ini sudah pastinya Waja, seperti yang dipakaikan oleh Gary ke atas kereta kesayangannya.
Secara jujurnya, perasaan teruja yang pernah ada ketika pertama kali melihat modifikasi serupa sedikit lenyap kerana terlalu kerap dijamukan dengan Waja yang disalinkan body-kit Evo. Namun, seperti pepatah lama pernah mengatakan, jangan sesekali menilai buku melalui kulit. Kalaulah bebola mata ini boleh terlucut dari soketnya, sudah lama ia melompat keluar. Inilah kereta pertama yang menerima interior paling menakjubkan, unik dan indah. Seindah warna cahaya yang bergabung di langit, ‘aurora’!
Setiap kereta mempunyai keistimewaan tersendiri sepertimana manusia juga dan ia bergantung kepada pemiliknya. Bagi saudara Gary, daya imaginasi dan kreativiti yang ada padanya telah ditumpahkan kepada kereta kesayangannya. Jika alihkan pula tumpuan kepada stesen di mana semua jentera I.C.E diletakkan, satu lagi pemandangan indah akan ditemukan. Mandian sinar cahaya berwarna biru dan merah, menyerlahkan para penghuninya yang sedikit tersembunyi di sebalik perumah yang diperbuat dari plastik kaca.
Sebelum asyik melalut tentang kehebatan interiornya, saya perlu kembali ke tugasan sebenar. Membedah segala isi jentera I.C.E yang dimuatkan ke dalamnya. Bermula dengan ketua jentera I.C.E ini, Gary memilih jenama JVC, satu jenama yang tidak kurang hebatnya. Model yang digunakan untuk membaca segala format fail media dan melancarkan pemancaran isyarat ini ialah KV-M706. Terdapat pilihan disediakan oleh Gary sendiri, visual atau audio. Bagi hiburan visual, pemain Dvd model KD-DV7306 dari jenama sama telah dijadikan sebagai gandingan.
Bagi menyempurnakan isyarat yang diperlukan dan dipancarkan kepada stesen berikutnya, seunit crossover dari jenama Memphis telah digunakan sebagai perantara. Di stesen ini, sejumlah bunyi yang tidak diperlukan akan dipotong dan selebihnya akan dihantar untuk menjalani proses pembesar isyarat, di stesen yang digalas tanggungjawabnya oleh amplifier.
Sebanyak empat unit amplifier telah dipertanggungjawabkan. Dua unit daripadanya amplifier 4 channel KGN-854 dari jenama Kennon. Amplifier ini pula akan memacu sejumlah mid bass dan tweeter. Pasti ada yang bertanya, mampukah sebuah amplifier memacu barisan speaker yang banyak dalam satu-satu masa? Adakah ia mampu menghasilkan bunyi paling optimum? Perlu diingatkan, tidak kira apa juga kuasa yang dicatatkan pada badan amplifier, cara pemasangan juga perlu efektif dan ia bergantung pada installer. Bukan semata-mata pada amplifier. Ianya lebih kepada gabungan kedua-duanya!
Kembali kepada proses pembedahan sistem I.C.E sebentar tadi, seunit amplifier 4 channel tersebut digunakan untuk memacu 6 unit mid bass 6” KN-688CP dan 6 unit tweeter, kesemuanya dari jenama Kennon. Manakala seunit lagi digunakan untuk memacu 4 unit mid bass 6” KN-688CP dan 4 unit tweeter. Kesemua jentera ini disusun rapi dalam enclosure costume made. Susunan yang sangat rapi sehingga anda tercari-cari kesemua bilangan mid bass dan tweeter kerana ianya seakan tersorok. Kagum, bukan?
Sebelum mengakhiri senarai, dua unit amplifier monoblock KGN-D800 dari jenama Kennon telah digunakan. Setiap satu unit amplifier monoblock ini berfungsi untuk memacu 2 unit woofer 12” KW-129DP juga dari Kennon. Bagi menampung tenaga yang diperlukan, Gary telah menggunakan dua unit kapasitor 2.0 farad jenama Orion. Cukup dengan hanya memerhatikan setiap ahli yang terkandung di dalam jentera I.C.E ini, amat mudah untuk meneka bahawa ia merupakan sistem talaan SPL.
Bagi pecinta I.C.E sejak zaman sekolah ini, pastinya Gary tidak akan pernah berhenti untuk terus mempelbagaikan sistem audio yang dipikul Waja Evo ini. Malah kecintaannya terhadap I.C.E tidak pernah membuatkan dia taksub menyertai mana-mana pertandingan. Pertandingan hanya sekadar suka-suka dan disertai sekiranya ada permintaan dari installer yang sudah lama bersama beliau, Digital Audio Accessories.
Beliau enggan mengabadikan wajah di ruang Show Off, menyerahkan Waja Evo kesayangannya untuk digandingkan bersama installer yang juga pemilik Digital Audio Accessories bagi tatapan pembaca majalah Kar Hifi. Jelas sekali yang Gary mahu berkongsi kehebatan keretanya tanpa perlu menunjukkan identitinya pada umum. Namun, jika saudara Gary tergerak hati untuk lebih serius dalam pertandingan, pasti Waja Evo ini akan memberikan revolusi baru dunia I.C.E!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 12




















