Pertama, jarang orang beli kereta ini kalau tujuan asalnya ialah untuk modifikasi. Ia bukan sebuah kereta, ia adalah trak pikap, berenjin diesel yang digunakan untuk tujuan lasak. Melainkan di sebelah Sabah, Sarawak atau Thailand, trend pikap di Semenanjung adalah amat kurang mendapat sambutan. Mungkin kerana faktor jalanraya yang elok dan juga harga bahanapi diesel yang sama saja dengan petrol.
Kita memang tidak perlukan sebuah trak pikap untuk dipandu seharian. Tapi bagi pemilik Isuzu D-Max ini yang telah biasa memandu kenderaan pacuan 4 roda, beliau mempunyai pilihan yang jelas di depan mata bilamana banyak jenis pikap dibawa masuk sejak 10 tahun yang lepas. Daripada Mitsubishi Triton, Toyota Hilux, Nissan Navara dan akhirnya beliau membuat keputusan membeli sebuah Isuzu D-Max.
Isuzu D-Max ini pada awalnya ialah sebuah kenderaan yang digunakan untuk membawa barang-barang yang dibeli di pasar. Pemiliknya memiliki perniagaan sebuah restoran dan turut membuat bisnes katering. Isuzu D-Max ini telah banyak berjasa dalam perniagaan dan apabila semakin maju, pemiliknya membeli van yang lebih besar dan beberapa buah kenderaan lain. Sayangnya pada D-Max dengan jasa yang tidak ternilai menyebabkan beliau terus memandunya sebagai kenderaan hobi pula.
Kenderaan ini ditinggalkan di bengkel untuk kerja-kerja mengecat dan fabrikasi di bahagian dalamnya. Kesemua bahagian dalam ditanggalkan dan dibalut semula dengan fabrik merah, hitam dan kerja mengemas yang menyeluruh. Karpet disulam semula, dashboard dilayangkan dengan airbrush dan tempat duduk hadapan diganti kepada jenis lebih sporty. Bahagian luar juga menerima perubahan besar dengan penggunaan warna hitam yang dilapiskan dengan pelekat dan juga penyudah airbrush di beberapa bahagian.
Ruang barangan di belakang telah diubahsuai untuk persediaan sistem audio. Sebagai permulaan, pemain CD Eclipse ESN CD2000 dipasangkan di bahagian dashboard. Mungkin namanya tidaklah gah seperti Pioneer, JVC mahupun pemain Sony, Eclipse turut mempunyai reputasinya yang tersendiri dan sememangnya boleh diharapkan dalam membaca setiap data.
Pemain ini kemudiannya disambungkan pula kepada seunit line driver America Sound RS2-LD yang bakal memecahkan laluan utamanya kepada 2. Kompilasi pemasangan ini diterjemahkan menerusi dua unit crossover elektronik America Sound RS-3ECN.
Tiga unit woofer yang dipasangkan pada trailer belakang pikap ini adalah dari model America Sound Ultimate Series US12.1DM. Woofer 12” ini dipasang dalam kotak khas yang ditentu ukur dengan saiz lebar lantai platform. Ia memberi kelebihan kepada kekedapan bunyi disamping prestasinya mengeluarkan output yang optimum berbanding pemasangan yang sama dalam sebuah but kereta.
Bagi membekalkan kuasa secukupnya, seunit amplifier monoblock kelas D America Sound US-2500.1D dipasangkan di atas lantai dengan kemasan platform nipis yang ditempah khas. Di sinilah installer memainkan peranan penting dalam memasang sistem audio dan dalam masa yang sama, mengekalkan kekemasan agar kelihatan menarik dan tidak berserabut. Walaupun ruang bukanlah masalah besar untuk pikap sebegini, tetapi penggunaan ruang oleh installer ternyata sangat bijak.
Dua unit amplifier lagi digunakan untuk membekalkan kuasa kepada unit-unit mid bass dan tweeter. Mid US6SPL sebanyak 4 unit berkongsi kuasa bersama 2 unit horn tweeter US80SPL yang juga dari America Sound. Memandangkan saluran bunyi adalah terus daripada susunan mid ini, amplifier yang berkemampuan tinggi diperlukan. Ternyata pemasangan 2 unit amplifier 4 channel dari America Sound siri RS-100.4SMD adalah pilihan tepat dan pada kebanyakan acara yang disertai, pikap ini belum pernah menghampakan pemiliknya.
Kombinasi kualiti bunyi dan kekuatan tekanan SPL yang dihasilkan menjadikan sistem bunyi D-Max ini sempurna untuk pertunjukan mahupun pertandingan. Jika anda biasa ke sebelah utara, D-Max ini sering mengikuti apa juga acara autoshow dan audioshow yang dianjurkan.
Kalau dilihat pada keunikan, Isuzu D-Max adalah satu daripada jenis kenderaan yang harus anda pertimbangkan. Jika sudah bosan dengan Perodua, Proton atau Vios, pikap ini boileh diberi pada harga yang munasabah. Dan saya perlu berkongsi satu maklumat, D-Max ni memang jimat minyak dan boleh dijadikan kenderaan harian.