Ini adalah kereta yang menjadi kereta kebanggaan Malaysia. Sama seperti Wira dan Saga satu ketika dahulu, sangat laris sehinggakan membelinya memerlukan kita menunggu berbulan lamanya. Produksinya berkembang dengan pelbagai varian dan versi, namun asasnya sama. Tidak dinafikan, ia sebuah kereta yang praktikal dan mudah dijaga. Jika tidak dijadikan kereta mobiliti harian sekalipun, kereta ini gemar diubahsuai kepada Passo atau Boon. Variannya juga banyak dan pilihannya juga pelbagai. Kepada mereka yang ingin modifikasi lebih murah pula, kedai aksesori ada peralatannya, dari bodykit gentian kaca hinggalah ke aksesori dalamannya.
Myvi juga boleh dibina dengan sistem audio jika anda mahukan sebuah unit pengangkutan dengan sistem bunyi seperti panggung konsert. Seperti juga kereta dengan rekaan hatchback, sistem bunyinya lebih mudah dibina, keseluruhan ritma bunyi yang dihasilkan dalam but akan terus berada dalam kabin. Menerusi pelarasan yang betul, sistem audio kereta-kereta jenis ini dapat direka untuk pendengaran dalam kokpit, mahupun untuk pertunjukan.
Myvi ini adalah contoh pembinaan sistem audio yang merangkumi aspek yang disebutkan tadi. Sistem dibina pada Myvi ini bermula dengan unit pemproses Pioneer DEH1150MPG. Ini bukanlah pemain berkelajuan tinggi dengan pemproses lensa termaju dari Pioneer, ia adalah pemain asas dengan kebolehan MP3 yang sesuai untuk mereka yang mementingkan bajet. Ia juga merupakan pemain berjenama berbajet rendah dengan kualiti audio Pioneer seperti FIE (Front Image Enhancer) yang merupakan pemproses digital terkenal untuk staging bunyi hadapan.
Pemain Pioneer juga terkenal dengan kualiti sistem radionya yang mampu menerima siaran dengan sangat jelas. Mereka menggelarnya Super Tuner (dengan pelbagai varian). Tidak banyak pemain dalam lingkungan harga Pioneer ini memiliki fungsi custom equalizer sepertinya. Ia adalah fungsi pre-set yang membolehkan siaran diterima dengan jelas biarpun terdapat lantunan atau halangan frekuensi radio. Lazimnya terjadi bila kereta dipandu di kawasan dengan bangunan tinggi atau di bawah terowong pendek. Di kawasan yang siarannya lemah, Super Tuner adalah sesuatu yang boleh diharapkan.
Pemain ini menghantar isyarat kepada Q Mobile dan Epsilon. Secara teorinya, jika anda mempunyai pemain yang kurang berkemampuan, fungsi memilih band dan menapis gelombang akan jatuh kepada pre amp. Di sinilah pentingnya teknik pelarasan bila pemain tidak mampu untuk membahagikan gelombang bunyi pada kadaran kilohertz yang lebih luas. Pre amp Q Mobile digunakan untuk mengawal subwoofer sahaja sementara unit Epsilon bertugas untuk mid bass.
Sebanyak tiga unit subwoofer Kennon 12 inci dipasangkan terus memenuhi ruang but Myvi ini. Memandangkan penebatan bunyi kereta ini tidaklah begitu baik, teknik pemasangan sub yang betul juga menjadi penting. Enclosure custom berbentuk kekotak yang seimbang ukurannya telah dibina untuk menempatkan ketiga-tiga woofer tersebut agar mampu menghasilkan bunyi pada sudut yang sama. Ukuran jarak juga penting agar bunyi dapat bebas di udara tanpa terperangkap atau berlaga dengan bahagian kereta yang lain. Sub ini menerima bekalan kuasa daripada amplifier monoblock Q Mobile Audio. Seperti yang tertera pada modelnya, amplifier ini direka untuk kelas D, mempunyai rintangan bunyi yang rendah serta kuasa yang konsisten.
Bentangan gelombang untuk mid bass dipecahkan kepada dua laluan. Pertama, ia datang dari set kuasa amplifier Q Mobile Audio. Unit ini bertindak mengatur kuasa kepada set mid bass yang dipasangkan pada trunk lid belakang kereta. Ketika tidak digunakan, pasangan pembesar suara ini dilipat di belakang pintu. Speaker ini terdiri daripada 4 unit mid bass dan dua unit tweeter Q Mobile Audio. Memandangkan unit ini berkedudukan agak jauh dari kumpulan pertama dalam but, kejelasan bunyinya dapat dirasai khasnya jika berdiri beberapa kaki dari Myvi ini.
Himpunan kedua terletak dalam but yang melibatkan 6 buah mid dan dua pasang tweeter. Sama seperti unit pasangan yang awal, ia menerima satu sumber kuasa berbeza, namun kali ini daripada amplifier 4 channel Kennon. Teknik pemasangannya adalah seperti yang dijangka, satu channel untuk setiap mid bass sementara 4 tweeter berkongsi saluran dengan mid bass tersebut dengan frekuensi dipotong oleh dua buah crossover jenis passive. Sistem keseluruhan pada Myvi ini masih boleh dikatakan berbajet sederhana. Masih lagi sesuai untuk sebuah kereta yang digunakan seharian sambil ‘berperang’ di hujung minggu. Seronok bukan?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 8