Sepang Hunter
Saya pernah berilusi alangkah bagusnya kalau ada lensa kamera yang boleh mewakili zoom dari 10mm sampai 300mm dengan bukaan aperature 1.2. Itu memang tak akan terjadi dan kalaupun ia berjaya dicipta, mungkin lensanya sebesar batang pokok kelapa. Untuk melengkapkan ilusi tadi, dicadangkan agar jurutera komputer mencipta komputer yang boleh menaip artikel dengan hanya memasukkan data atau diagram. Kedengarannya hebat, bukan?
Pernah di suatu ketika dahulu ada perisian yang mencipta lagu, tapi realitinya apa juga bentuk kerja kreatif yang melibatkan seni sampai sudah tak akan ada alat yang sempurna untuk digunakan. Kalau ada sekalipun, mungkin pada tahun 3000 nanti yang mana ketika itupun saya tak fikir orang membeli majalah. Semuanya dilihat dalam telefon, dalam talian atau mungkin lebih canggih lagi dengan kacamata berskrin bersama fon-kepala. Terlalu canggih?
Canggih lagi kereta Kenari ini. Sedang saya dalam lamunan dilanda kebuntuan ilham untuk menulis, tiba-tiba kereta ini masuk ke dalam paparan skrin komputer riba. Secara automatik, idea mula datang perlahan-lahan.
Bertemu dalam cuaca cukup baik berhampiran Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Kenari ini sebenarnya tidak banyak menampilkan peralatan audio dari yang lazimnya kami paparkan. Pemusatan sistem adalah gabungan peralatan dari Jepun yang khusus untuk idea audio-kompak dan juga produk Itali yang menawarkan kelengkapan keseluruhan. Bukan itu sebenarnya yang menarik perhatian, sebaliknya cara kereta ini diubahsuai menjadikan ia objek yang unik.
Bodykit American Metal II, enjin pendesak turbo 1.3 YRV, rim 2 piece dan warna ‘midnight purple’ sudah cukup meletakkannya pada posisi tersendiri. Aksesori dalamannya juga cukup lengkap dengan perkakasan Daihatsu Move yang tidak meninggalkan sisa bahagian Kenari walau secalit. Tapi sebagai sebuah majalah yang berkonsepkan audio, maka saya rasa lebih bertanggungjawab untuk menceritakan perihal sistem audionya.
Kenari ini menggunakan 2 unit pemain utama yang kedua-duanya dari satu jenama terkenal, Pioneer. Unit pertama merupakan AVH-P6650DVD yang merupakan medium 1-din dengan monitor-in-dash yang dipasangkan dibahagian konsol atas papan pemuka Move. Satu lagi ialah pemain jenis 2-din dengan skrin sesentuh model AVH-550BT. Saya tidak pasti apakah rasional di sebalik pemasangan 2 unit pemain utama ini. Apa yang bermain di fikiran saya ialah lokasi din yang bertambah selepas dashboard Daihatsu Move dipasang. Entahlah.
Sebanyak 2 unit amplifier digunakan untuk mengestrak keseluruhan bunyi dalaman kereta ini. Ianya adalah amplifier Mosconi AS300.2 dan AS200.4 yang mana masing-masing berkemampuan 2 dan 4 saluran. Amplifier 2 saluran tadi bertugas menghentam woofer semata-mata. Woofer 12” Gladen dari SQX Line, SQX12 yang dipasang dalam but belakang kereta ini sudah cukup untuk pemiliknya meletakkan ikan dan sayuran di kerusi belakang bila ke pasar. Ia sendat dan padat.
Satu lagi unit amplifier menjalankan tanggungjawab yang lebih besar. Keseluruhan channel keluarannya diagih-agihkan kepada unit komponen Gladen Zero Line 165 (terdiri dari mid bass dan tweeter) di bahagian hadapan, manakala speaker komponen Carrozeria untuk bahagian belakang kereta (cermin D belakang atau lebih dikenali dengan nama speaker ‘D’). Speaker ini memang dikeluarkan di Jepun oleh Carozzeria khas untuk model Move L900.
Jelasnya, kereta ini diubahsuai dengan kecenderungan gaya JDM yang memihak hampir segenap dalaman dan luarannya. Agak janggal jika gaya JDM disatukan dengan kombinasi audio kerana pengikut JDM lazimnya menggunakan sistem audio yang seringkas mungkin. Mereka lebih berminat kepada aksesori seperti bodypart dan rim.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 42