My-vi Temptation
Dalam hidup ini kita perlu fokus untuk mencapai sesuatu benda atau impian. Baik kerjaya, keluarga, agama dan masa depan, fokus mestilah menjadi landasan utama supaya apa yang kita rancang, sampai ke matlamatnya. Beginilah, anda tahu istilah fokus dalam fotografi? Kebanyakan kamera moden menggunakan lensa auto fokus, perumpamaannya mudah, jika auto fokusnya rosak atau tidak mampu fokus dengan baik, anda tidak akan dapat imej yang jelas. Ertinya, matlamat untuk merakam foto itu tidak sampai.
Jika anda mahu membina sistem audio ringkas berdasarkan kualiti bunyi, fokus pada satu perancangan sahaja. Kalau bercadang mahu menjadikannya autoshow pula, fokus pada satu tujuan, kerana kalau hendak membuat 2 projek dalam satu masa kelak akan hilang arah. Bila landasan sudah tersasar, ia akan melibatkan kos, tenaga dan masa untuk membetulkan semula laluan tersebut. Berfalsafah pula saya kali ni.
Kereta Perodua Myvi ini nampak menyerlah dari luar bila diimbas sekali pandang. ‘Kesan’ pandangan ini adalah sumbangan pelekat badan gaya batik bebas yang membalut separuh badannya. Sedangkan kereta ini tiada langsung bodykit asing malah rodanya juga masih dalam keadaan asal. Tiada perubahan. Tetapi, adakah dalam Myvi ini seringkas luarannya? Itulah persoalan yang bermain di fikiran saya.
Buka but belakang. Nah, terlihat fabrikasi rumit yang melibatkan komponen speaker dan woofer yang dipasang dalam perumah gentian kaca dan disudahkan dengan tema angkasaraya dengan teknik airbrush. Wajah lembut bertukar garang bila muzik dimainkan. Jelasnya, kereta ini dibina berdasarkan eksplorasi SPL untuk mendapatkan tenaga bunyi yang optimum.
Sebagaimana yang diketahui, saiz adalah halangannya. But Myvi yang cuma berkapasiti kurang 140 liter ini hanya mampu memuatkan 3 unit woofer sahaja. Cukup atau tidak bergantung kepada jenama, teknik pemasangan dan penalaannya. Secara peribadi, saya rasakan ia lebih dari cukup, mungkin kerana reputasi woofer Kole Audio yang memang terkenal dengan hentaman bass yang padu.
Ketiga-tiga woofer ini mendapat kuasa daripada seunit amplifier Kole Audio QX-3000D. Seunit amplifier kelas D yang berkuasa, mampu menghentam 3 woofer magnet berkembar asalkan anda pasang dan talanya dengan betul. Ukuran pendawaiannya mesti tepat supaya kuasa sentiasa dapat dibekalkan secukupnya. Penalaan yang dibuat kepada woofer ini datangnya daripada pre-amp yang sentiasa dipantau dari masa ke semasa bergantung kepada kekuatan bunyi yang diperlukan dalam keadaan berbeza.
Disamping woofer, empat unit mid bass 6” dan 2 unit tweeter menjadi pelengkap kepada aksesori audio kereta ini. Mid bass 6” dari jenama yang sama; Kole Audio model QX-60BM ini digandingkan dengan tweeter QD-TW100. Ia kemudiannya dialirkan kepada seunit amplifier 4 channel Kole Audio KSQ-804 yang mana proses penalaannya lebih rumit.
Bila kedua-dua pre-amp dan amplifier ini ditala bersama, keharmonian bunyi boleh diubah mengikut setting, kegunaan dan fungsi dalam situasi berbeza. Contohnya, jika untuk pertandingan, keluaran dB bass disasarkan lebih tinggi, berbanding ketika muzik jenis rock atau pop rock dimainkan.
Bahagian dalaman Myvi ini langsung tidak menerima apa-apa penambahan luar. Mungkin ada baiknya. Tidak perlu fokus kepada pelbagai sudut. Oh ya, berbalik kepada teori fokus yang disebutkan awal artikel tadi, pembinanya My Audio hanya memfokuskan penghasilan bunyi dari susunan komponen di bahagian but semata-mata. Bunyi yang dihasilkan pula, sangat memuaskan dan pasti anda juga tergoda untuk mendengarnya. Benar bukan?
Namun yang demikian, pemain utamanya digantikan dengan unit 2-din bina-dalam buatan Convex yang menampilan banyak ciri yang tiada pada versi Myvi asal seperti fungsi pemain DVD dan monitor, navigasi, kamera undur dan bit bacaan cakera padat yang lebih pantas.
Kemasan terhadap penutup papan instrumentasi, bumbung dan penambahan cermin pandang belakang jenis VIP mengemaskan penampilan kereta ini secara keseluruhan. Sekurang-kurangnya tidaklah kelihatan terlalu asas untuk sebuah kereta yang butnya penuh dengan warna warni audio. Jelasnya, fokus dan matlamat kereta ini seiring bersama menjadikan ia kereta pilihan saya untuk set koleksi yang dibuat oleh My Audio.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 42