Mungkin kereta ini bukanlah satu model baru dan kelihatan biasa-biasa sahaja, tetapi sebaik melihat bahagian dalam, ternganga juga mulut dibuatnya. Bunyi dihasilkan pula mampu menarik perhatian ramai, sekalipun yang berada dalam jarak jauh dari kereta ini. Kereta ini merupakan milik Gunung Kawi, sebuah syarikat pengimport jenama-jenama I.C.E terkenal seperti Ground Zero, Phoenix Gold, JVC dan Xetec.
Pengarah syarikat ini, saudara William Yakin, menghubungi pakar installer terkenal rantau Indonesia, saudara Erwin dan memberitahu hajatnya menghasilkan sebuah kereta demo dengan pelbagai tujuan. Tujuan utama, mencapai tahap penghabisan setiap komponen agar umum tahu tentang hasil yang mampu dilakukan. Kereta demo ini dipasangkan dengan kesemua jenis talaan I.C.E. Ini termasuklah Sound Quality (SQ), Sound Pressure Level (SPL) dan Car Theatre (DTS 5.1). Dalam ayat yang mudah, pemasangan audio yang ekstrem tetapi elegan!
Bagi mempersiapkan kesempurnaan pada induknya, Erwin menggabungkan head unit JVC KD-SH909R bersama monitor indash JVC KD-AV7001, prosesor JVC Exad dan ‘balanced transmitter’ Phoenix Gold PLD1. Gabungan ini memastikan bunyi yang dihasilkan mencapai tahap paling asli. Untuk itu, 4 unit woofer Ground Zero digunakan. Kesemua woofer ini dipasang di dalam ‘custom made fiberglass’, MDF dan perumah ‘body filler’ untuk mencapai pembacaan SPL paling maksima.
Setiap 2 woofer ini diletakkan secara selari untuk mendapatkan 1 ohm impedans, kemudian selari pula dengan 2 lagi unit untuk mendapatkan ½ Ohm impedans. Kaedah ini amat efisen untuk mendapatkan kuasa output paling maksima pada amplifier monoblock Ground Zero.
2 unit amplifier 2 channel Ground Zero pula digunakan untuk memacu speaker dan tweeter Ground Zero. 1 unit memacu 4 unit speaker Ground Zero yang dipasangkan di bucu bawah panel pintu dengan sudut yang tepat. Bagi mempercantikan interior kereta ini, semua pintu telah dihias semula dan dipasangkan dengan MDF dan fiberglass. Tambah menarik lagi, gambar laser Ground Zero ditampal di bahagian pintu bersama lampu LED putih.
Amplifier yang sama turut memacu 4 unit dome tweeter yang dipasang pada A pillar. 2 unit di setiap satu bahagian, diletakkan pada custom made akrilik dengan sudut yang tepat, untuk mendapatkan bunyi yang cemerlang. Bahagian tengah dashboard pula diubahsuai untuk menempatkan centre speaker 2” Xetec untuk tujuan car theatre DTS 5.1.
Baki 1 unit amplifier 2 channel Ground Zero pula bertugas untuk memacu speaker-speaker bahagian tengah kereta dan juga di bahagian ruang letak barang. Kesemuanya telah disusun pada setiap sudut yang sempurna bagi penghasilan bunyi yang lebih dinamik. Tempat duduk yang ada di bahagian ruang letak barang telah dialihkan untuk menempatkan perumah, bersama-sama rak amplifier, lampu-lampu LED, crossover speaker pasif dan ukiran pintu dengan gelas setebal 1 cm.
Sejumlah 7 monitor telah digunakan di dalam kereta ini. 1 unit di bahagian dashboard, 2 unit di tempat headrest, 2 unit di bahagian tengah dan 2 unit lagi di bahagian ruang letak barang. Ini bagi memenuhi kriteria kemampuan sebuah sistem talaan car theatre.
Sebaik melihatkan penggunaan yang agak kompleks ini, tenaga elektrik lebihan amat diperlukan. Jadi, Erwin telah menambahkan bekalan tenaga elektrik dengan 1 unit alternator 100 Ampere Phoenix Gold dan 2 unit bateri sel kering 100 Ampere Ground Zero. Selain itu, beliau juga turut menggunakan kapasitor Ground Zero. Manakala kabel kuasa 0 AWG DC dari Puresonic dan kabel speaker Ground Zero telah digunakan.
Jadi, apabila memainkan lagu-lagu talaan SQ, penggunaan woofer boleh dikurangkan kepada 1 unit dan 3 unit lagi dipadamkan. Jika memainkan DTS 5.1, maka 2 woofer akan digunakan dan 2 lagi dipadam. Sekiranya mahukan bunyi yang GILA KUAT pada SPL, hidupkan kesemua 4 woofer sehingga tahap penghabisan!
Tak syak lagi, memang inilah yang dikatakan kereta demo 3 dalam 1!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 17