Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak yang terletak di negeri Terengganu Darul Iman digegarkan dengan aksi-aksi mendebarkan dari para peserta yang bersaing untuk merebut kejuaraan sempena penganjuran Ganu Drift Challenge yang lalu. Pusingan ketiga yang diadakan selama dua hari pada 29 dan 30 November ini sekali gus menutup musim 2019 yang menyaksikan sambutan yang kian memberangsangkan dari para peminat sukan ini.


Dianjurkan oleh Ganu Drift Club, program ini mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu serta sokongan dari barisan para penaja yang terdiri dari Triple A Tyres Auto & Services sebagai penaja utama serta barisan penaja bersama iaitu Rydanz Tyre Malaysia, TorenzOil Malaysia dan FTuned Racing Malaysia. Sebanyak 3 kategori telah dipertandingkan iaitu Expert, Novice dan juga Beginner (4k/5k enjin).

Demi keselamatan, para peserta dan pelumba yang mengambil bahagian telah diingatkan terlebih dahulu untuk mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Para peserta wajib berpakaian lengkap berkasut, lampu brek berfungsi, kereta yang digunakan sedia untuk drift, pemadam api wajib ada di setiap kereta dan paling penting, tali pinggang wajib ada.

Seramai 28 peserta menyertai pusingan kali ketiga ini yang menyaksikan pelbagai aksi mendebarkan. Tahniah kepada para peserta yang berjaya muncul sebagai pemenang. Kepada yang kurang bernasib baik, boleh cuba lagi. Semoga berjumpa lagi pada pusingan akan datang untuk musim 2020 tidak lama lagi.
Perkongsian : Ganu Drift Club



































