
Jauh perjalanan luas pemandangan. Belum habis di Malaysia, Kar HiFi sudahpun meluaskan ruang liputan. Kar HiFi amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan para peminat dunia audio kereta dari negara serumpun, Indonesia. Ya, tidak mustahil di masa-masa akan datang lebih luas lagi tempat yang bakal Kar HiFi jejaki.
Anggie Pratiwi Sheillova, si manis yang berasal dari bandar Bandung sudi berkongsi kisah kegilaannya. Pasti ramai irihati melihat si manis ini memberi aksi manja di samping kereta Swift miliknya. Serasi dengan naluri kewanitaan yang lembut, warna merah jambu telah dipilih menyaluti tubuh Suzuki Swift ini.
Jangan terpedaya dengan kelembutan seorang wanita!
Ya. Begitu juga halnya dalam situasi kereta merah jambu ini. Mungkin di luar dan di dalam kereta ini dipenuhi dengan aksesori berwarna lembut, tetapi prestasi sistem audio Swift ini tidak harus dipandang sepi. Siapa sangka gadis manis ini turut terkena virus kegilaan dunia audio. Lihat saja pada bonet belakang kereta ini, tak terbeliak biji mata dibuatnya? Setanding profesional. Inilah baru dikatakan Girl Power!

Anggie hanya mahukan yang terbaik dan ia dapat dilihat menerusi seleksi jenama audio yang dimuatkan dalam Swift ini. Bermula dengan Pioneer, diikuti jenama lain seperti Consonance, Magus, Roger’s, Focal, Harmonic Drive dan Core Audio. Amat meminati lagu-lagu R&B dan Hip Hop, Anggie telah merujuk pakar audio Indonesia bagi melakukan transformasi ke atas kereta kesayangannya. Siapa lagi kalau bukan Erwin Kosasih dari Radius Audio!
Mendengarkan nama pakar ini sahaja sudah cukup menjelaskan betapa serius Anggie terhadap audio yang mengisi keretanya. Beliau bukan sekadar melakukan modifikasi audio kerana suka-suka tetapi turut mempunyai kecenderungan menyertai pertandingan audio. Itu pun di bawah kategori SPL! Beliau juga mengaku bahawa ingin sentiasa tampil berbeza dan lain dari yang lain.
Menurut Erwin Kosasih, beliau menyediakan kereta Girl Power ini berdasarkan keperluan dan kehendak yang dimahukan Anggie. Dalam masa yang sama, beliau turut mempertimbangkan bajet yang dikeluarkan oleh Anggie. Bermula di head unit, jenama Pioneer sudah mengambil tempat yang amat kukuh di situ. Dengan keutamaan memainkan Dvd, head unit AVH-P3150DVD double-din merangkap monitor dengan kawalan binaan-dalam juga mampu memainkan Ipod, USB dan Iphone.
Jelas sekali head unit ini merupakan antara yang terbaik keluaran Pioneer, dan memastikan prestasi yang dikeluarkan oleh Pioneer ini dapat diteruskan pula oleh ahli tetangga sistem audio yang lainnya. Isyarat yang dipancarkan seterusnya diserahkan pula kepada amplifier sebelum hasilnya kedengaran jelas di mulut-mulut speaker sebagai hasil yang terakhir. Bagi memproses dan membesarkan isyarat, Erwin memilih untuk menggandingkan pula jenama amplifier Harmonic Drive model HD-85.
Mungkin peminat audio asing dengan jenama ini, namun ia merupakan jenama yang mempunyai pengikutnya tersendiri. Sepertimana kegilaan Adams Digital di Malaysia, begitu jugalah halnya dengan jenama ini di seberang. Setelah itu, isyarat tersebut akan diagihkan pula kepada 2 unit mid bass 6.5” jenama Roger’s yang ditempatkan di bahagian belakang bonet, 4 unit mid bass 6.5” lagi dari jenama Focal di bahagian depan dan 2 unit tweeter 4” dari Magus yang juga ditempatkan di bahagian belakang.
Namun, jentera audio tidak lengkap tanpa kehadiran woofer, apatah lagi kalau ianya memakai talaan SPL. Bagi menyempurnakan Swift ini, 2 unit woofer 10” dari jenama Consonance telah digunakan dan dipacukan oleh amplifier monoblock Core Audio. Bagi menampung tenaga yang diperlukan, sebuah kapasitor digital dengan 2 Farad telah digunakan. Tiada masalah kekurangan tenaga untuk Anggie berpesta sakan.
Jangan disangka Girl Power ini hanya boleh ditemui di Indonesia sahaja. Mana tahu, mungkin lima minit lagi dari sekarang, atau esok mahupun lusa anda akan bertemu dengan seorang lagi pemandu wanita. Makan asap, berdesinglah telinga dibuatnya cik abang oi…
























