Power Pack Performance
Tidak ada sebab untuk mengenepikan kereta ini dalam proses pemilihan projek audio. Ia adalah sebuah ‘van’ zaman moden yang telah menggantikan Nissan Vanette dan Toyota Liteace. Jarang kami bertemu dengan contoh ubahsuai begini kerana kebanyakan Avanza dimiliki oleh keluarga kecil. Lazimnya berpendapatan sederhana dan bukanlah bijak menjadikan sebuah MPV kecil dengan projek audio kerana pengorbanan ruang. Kalau kaya dah tentu kenderaannya ialah Estima, Alphard atau Vellfire.

Fakta ini juga mendorong susahnya orang beralih arah. Kerana yang demikian, kita lebih mudah bertemu dengan Vios, Saga atau Myvi berbanding sebuah Avanza. Profil pemilik menjadi pendorong cetusan idea, pemikiran kreatif, termasuklah kerja gila-ekstrem yang sampai masanya tidak lagi praktikal untuk kegunaan harian.
Di sini kita bercakap tentang sebuah kereta yang telah dipencenkan dari menjadi sebuah MPV 7 tempat duduk. Kerusi barisan terakhir ditanggalkan dan ruang besar itu dipadankan dengan sebilangan peralatan audio yang banyak. Kereta ini milik pusat aksesori VIN Car Audio Accessories dari Kulai, Johor Bahru yang merupakan kereta peribadi bos premis ini.

Asalnya, ia sebuah kereta yang membawa keluarga beriadah pada hujung minggu, namun selepas anak-anak semakin membesar dan menetap di luar kawasan, kereta ini semakin terbiar. Sayang kerana nostalgia keluarga itulah menyebabkannya tidak dijual. Ia kekal dalam simpanan dan kini menjadi bahan eksperimentasi pemasangan sistem audio pula.
Mengetuai sistem kereta ini ialah dua unit pemain utama Pioneer; DEH-P80MP dan DEH-2500UI. Masing-masing didatangkan dengan fungsi media CD dan USB yang dipasangkan terus ke bahagian ‘din’ papan pemuka kereta ini. Tiada sebarang pengubahsuaian besar dibuat. Segalanya berkedudukan dan berfungsi sebagaimana pada keadaan asal. Jika anda hanya melihat ke dalam bahagian kabin nescaya ia tidak akan memberi impresi apa-apa. Hanya sebuah MPV kecil dengan 2 unit pemain utama?

Selamat datang ke bahagian belakang. Sebaik but belakang dibuka, terhidang satu susunan penuh set speaker yang didominasi oleh enam unit woofer 12” Performance PF12DD. Jumlah woofer mungkin menggemparkan tapi untuk memadankannya supaya dapat berfungsi mengikut spesifikasinya adalah satu isu berbeza. Mengikut apa yang dideskripsikan dalam diagram, pembinaan struktur dalaman kereta dibuat dengan 3 lapisan papan triplex. Papan ini menyokong setiap unit woofer tadi dan apabila berfungsi pada kapasiti maksima, 2 unit amplifier kelas D monoblok Performance PF5000.1 memastikan kuasanya sentiasa stabil.
Gugusan mid bass yang dipasang membentuk lengkungan lebih rumit melibatkan pemasangan menggunakan bahan gentian kaca. Bahan seperti kayu dan papan adalah terbaik untuk mendapat kedapan bunyi dalam teoritikali sistem audio, namun untuk mendapatkan fabrikasi rekabentuk sudah semestinya bahan gentian kaca lebih fleksibel. Menggunakan ukuran dan kaedah yang teliti, 8 unit mid bass Performance PF6.5 berjaya dipasangkan bersama dengan 4 unit tweeter jenis bullet Performance PFT2 dan 2 unit mid 4”.\

Membekalkan kuasa kepada gugusan speaker tersebut ialah dua unit amplifier 4 channel Performance. Turutan senarai peralatan berakhir pada amplifier ini. Tiada power cap digunakan, tiada pre-amp dan equalizer digunakan. Pemiliknya menggunakan kemahiran terbaiknya untuk membetulkan semua gelombang bunyi yang terhasil. Kerjanya lebih menjerihkan namun setiap orang ada teknik yang tersendiri.
Jika anda biasa melihat proses jajaran roda kenderaan (alignment) ia mirip kepada apa yang cuba dilakukan pada kereta ini. Penalaannya lebih kepada cara ‘manual’. Beberapa buah premis yang menyediakan perkhidmatan alignment jenis manual (tak mengunakan komputer/infrared/remote diagnosis) selalunya menjadi tumpuan untuk mereka yang mementingkan kualiti pemanduan. Saya akui, jajaran manual jauh lebih baik berbanding jajaran dengan sistem komputer. Walaupun teknologinya primitif dengan menggunakan pita ukur dan beberapa batang spanar, kaedah manual ini masih yang terbaik.
Mungkin itulah prinsip yang dipegang oleh VIN Car Audio Accessories. Seperti yang saya maklumkan tadi, ia bergantung pada kemahiran individu!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 45

























