Proton Perdana V6 ialah percubaan Proton membina sebuah kereta eksekutif yang bersaing dengan model-model asing seperti Toyota Camry dan Honda Accord. Proton mengambil satu langkah ke depan dengan memasarkan kereta dengan enjin konfigurasi enjin V6 yang mengatasi kesemua pesaing-pesaingnya yang hanya menggunakan enjin 4 silinder sebaris. Hasilnya? Pemanduan yang cukup lancar dan senyap.

Kejayaan Proton membuatkan kereta ini menjadi pilihan untuk kereta-kereta pegawai tertinggi kerajaan Malaysia dan juga untuk kegunaan pengusaha kereta sewa mewah. Selain daripada kelancaran enjin V6nya, Perdana ini juga mempunyai sistem gantungan jenis ‘multi link’ yang ditala semula oleh Lotus untuk mendapatkan pengendalian yang cukup baik di masa yang sama mengekalkan keselesaan pemanduan. Tak salah saya katakan, Perdana V6 ialah antara kereta eksekutif yang terbaik di eranya.

Setelah hampir 15 tahun selepas model V6 pertama dilancarkan, kini ia boleh dibeli dengan harga yang cukup berpatutan pada pasaran kereta terpakai. Dengan harga yang menarik, tak hairanlah Perdana V6 kini banyak dijadikan kereta projek untuk pelbagai tujuan. Sesiapa yang gilakan kuasa, model ini mampu ditala untuk kuasa. Untuk si kaki audio pula, kereta ini memberi ruang yang cukup luas untuk dijadikan kereta projek audio yang sempurna.

Proton Perdana V6 ini ialah kereta demo untuk pengeluar audio jenama PowerBass yang diimport penuh daripada Amerika Syarikat. Jenama ini mungkin agak asing lagi untuk peminat audio tempatan oleh kerana jenama ini juga masih baru di pasaran antarabangsa, tetapi syarikat ini mempunyai pasukan jurutera audio yang mempunyai pengalaman melebihi 20 tahun di dalam bidang ini, jadi ia adalah bukti bahawa sistem audio jenama ini dijamin kualitinya.

Sebagai sebuah kereta demo, Perdana V6 ini perlulah mempunyai konsep sistem audionya terlebih dahulu. Tidak seperti kebiasaan, kereta demo ini memilih sistem audio jenis SQL bagi membuktikan kepada umum bahawa produk PowerBass ini mampu menghasilkan bunyi yang berkualiti tinggi pada semua frekuensi, bukan hanya baik untuk menghasilkan bunyi bass yang bingit.

Untuk memulakan projek ini, installer dari Elegance Audio memilih unit utama Pioneer AVH-X4650DVD jenis din berkembar yang mempunyai fungsi main semula audio dan video digital. Antara fungsinya yang lain, ia mempunyai skrin sesentuh VGA 7” penuh, fungsi Mixtrax dan keupayaan memain semula audio dari telefon pintar i-Phone atau juga telefon pintar Android, membuatkan unit utama ini antara yang paling versatil di pasaran.

Dari pemain utama tadi, ia disambungkan terus kepada seunit Epsilon EP-8070EQ parametric equalizer dengan 7 saluran kawalan bagi menala frekuensi bunyi yang dijanakan oleh unit utama. Seterusnya, frekuensi bunyi yang keluar daripada equalizer tadi disalurkan kepada seunit amplifier PowerBass ASA3 yang mempunyai fungsi 4 saluran bunyi dan kuasa 50 watt x 4 (2 ohm) atau 100 watt x 4 (4 ohm), bergantung pada talaan installer.

Untuk projek Perdana ini, amplifier tadi digunakan bagi memberikan kuasa kepada dua unit speaker jenis komponen PowerBass Siri-S yang hadir dengan seunit speaker mid-bass 6.5” , tweeter 1” dan crossover jenis 2 hala. Speaker yang mempunyai magnet jenis nipis ini dipasang pada ruang speaker pintu manakala tweeternya ditanam pada panel pintu depan bagi mendapatkan “flush look” dan paling penting, mendapat titik staging bunyi yang terbaik.

Penumpang belakang Perdana ini juga mendapat khidmat speakernya yang tersendiri. Kuasa daripada amplifier tadi juga memberi kuasa kepada dua unit speaker jenis coaxial 2 hala dengan mid-bass bersaiz 6.5” dengan tweeter binadalam yang dipadatkan dalam satu pakej. Speaker ini dipasang pada ruang speaker asal Perdana ini bagi meminimakan ubahsuai yang perlu dilakukan pada bahagian dalamannya.

Tidak lengkap sesebuah sistem audio, tak kira samada jenis SQL atau SPL jika woofer tidak digunakan. Bunyi bass yang padat ialah sesuatu yang diimpikan oleh semua peminat sistem audio kereta yang tegar. Seunit woofer 12” PowerBass RTA-112 digunakan bagi menghasilkan bunyi bass yang dikehendaki. Anda mesti tertanya-tanya, tak ada ke amplifier digunakan bagi menghentam woofer ni? Buat pengetahuan korang, woofer ni sebenarnya didatangkan di dalam satu set lengkap bersama-sama perumah dan amplifier MOSFET berkuasa tinggi binadalam untuk menjimatkan ruang dan juga memastikan bunyi bass yang baik.

Selain daripada aksesori speaker dan amplifier, installer turut memasang dua unit kapasitor 1.2 farad PowerBass ASC-1.2 bagi menstabilkan bekalan elektrik kepada kesemua komponen audio. Walaupun woofer mempunyai perumahnya sendiri, installer turut membina perumah custom bagi meletak aksesori audio lain seperti amplifier dan kapasitor secara kemas di ruang but kereta. Bagi mengemaskan lagi ruang dalaman kereta, kesemua tempat duduk dibalut semula dengan kombinasi kulit kelabu dan merah manakala ruang but belakang dibalut semula dengan PVC hitam dan dihias dengan lampu LED berwarna ungu.
Hasil akhirnya amat memuaskan hati dengan kualiti bunyi yang dihasilkan amat jelas dengan bunyi bass yang padat.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi [61]




























