Baru-baru ini, Nissan mendedahkan kepada umum GT-R Nismo Edisi Khas yang dilengkapi dengan beberapa kemaskini terkini. Supercar yang sudah agak berusia ini masih lagi mempunyai hayat yang panjang. Namun, apa yang lebih istimewa adalah, pada majlis yang sama, Nissan turut mendedahkan versi bertemakan McDonald’s untuk model kereta yang sama.
Edisi Khas biasa didatangkan dalam warna Stealth Grey, manakala untuk versi McDonald’s telah disaluti dengan krom keemasan yang sama dengan warna korporat syarikat McDonald’s serta nama yang dilekatkan di atas bahagian wing. Selain dari itu, kedua-duanya tampil sama dari sudut visual dan juga mekanikal.
Sayangnya, versi McDonald’s ini tidak akan memasuki produksi kerana hanya satu dibina untuk kegunaan McDonald’s di Jepun. Namun begitu, sesiapa yang berminat boleh rebut peluang memenangi perjalanan ke Nissan’s Grandrive di mana pemenang boleh memandu uji kereta ini dan juga memandu bersama pemandu pembangunan Nissan dan alami pengalaman tanpa batasan.
Hanya dua keluarga yang terdiri dari tiga pemandu boleh memenangi hadiah utama. Selain itu, sebanyak 20 orang peserta akan menerima hadiah saguhati seperti kad hadiah bersama gambar kereta McDonald’s ini. Andai kata masih tidak berpeluang untuk menikmati GT-R bersaiz penuh ini, anda masih mempunyai kesempatan untuk mendapatkan versi mini kereta ini.
Model Tomica untuk GT-R Edisi Khas ini akan diberi dalam Happy Meals (atau Happy Set nama yang digunakan di Jepun) bermula dari 30 April sehingga 13 Mei. Lebih menarik lagi, hanya beberapa model sahaja yang diwarnakan dengan krom emas dan selebihnya warna Stealth Grey.
Sumber : Carscoops