Sepengetahuan saya belum ada badan atau agensi yang mengkaji statistik industri aftermarket dalam pasaran automotif tempatan. Tapi saya percaya, sumbangan terbesar dalam sektor ini datangnya dari perniagaan audio yang semakin rancak dewasa ini. Sekali lagi, ia disebabkan oleh kerapnya pameran dan pertandingan yang dijalankan di samping gaya hidup masayarakat yang mula beralih ke arah satu bentuk hobi baru yang digemari ramai.
Lihat sahaja di sekeliling anda. Tak kira bandar besar mahupun pekan kecil, kedai aksesori tumbuh bak cendawan selepas hujan. Persaingan perniagaan ini tidak langsung menunjukkan kesan negatif sebaliknya makin hari, makin banyak pula kedai aksesori yang dibuka. Baru-baru ni saya ke pekan Kapar untuk membuat liputan kereta ini dan tahukah anda, jumlah kedai aksesori di sana jauh lebih banyak di kawasan perumahan saya di Pandan Jaya, Kuala Lumpur. Kedai-kedai ini pula sentiasa penuh.
Di sebuah pekan kecil ini juga terletaknya Smart Audio, salah sebuah kedai aksesori terbesar yang terletak di jalan utama Kapar-Kuala Selangor. Kedudukannya yang strategik menjadikannya salah satu pusat aksesori yang sering dikunjungi oleh penduduk tempatan. Pada peringkat awalnya, pusat aksesori ini menumpukan pada tinted dan aksesori dan kini cuba mengenengahkan produk audio pula. Sebagai langkah awal, mereka membina 2 buah kereta audio dan salah satunya ialah Perodua Kancil ini.
Dari luar, tiada apa yang membezakan Kancil ini dengan yang lain. Warna dan rimnya masih standard. Ketinggiannya juga tidak berubah tetapi sebaik melihat ruang but belakangnya, barulah sedar bahawa kereta ini telah menjalani pengubahsuaian yang ekstensif demi meningkatkan persembahan sistem audionya.
Sistem bermula dengan pemain cakera padat Pioneer DEH-P4000UB yang dialihkan kedudukannya dari konsol tengah ke bahagian glove box penumpang dan bergandingan dengan 2 unit pre-amp 7 band Adams Digital RDP700. Ia dibuat untuk integrasi kedudukan amplifier yang bertindak sebagai equalizer bagi keseluruhan sistem. Tiga unit serangkai ini dipasang dengan perumah yang ditebuk di bahagian glovebox dengan kerangka dari aluminium dengan pemegang dari kayu nipis.
Kesemua sistem yang dibina tertumpu di bahagian belakang sahaja. Ia adalah tipikal sistem audio yang dibuat pada sebuah kereta kecil seperti Kancil. Sistem ini menampilkan empat unit woofer 15” yang kini agak terhad pilihannya dalam industri. Salah satu pengeluar yang masih ada ialah Adams Digital. Dengan ukuran dan teknik pemasangan yang betul, woofer ini sedang elok disusun dalam ruang menegak dalam perumah yang diperbuat dari papan 5mm. Ia kemudiannya dibalut dengan lapisan fabrik hitam. Woofer ini mendapat bekalan kuasa dari 2 unit amplifier monoblock Adams Digital EXA-2500.1D.
Lengkap dengan woofer, sisi kereta ini dipasangkan pula dengan enam unit mid bass Adams Digital EX-600 yang dikuasakan oleh amplifier 2 channel Adams Digital EDD200.2. Jika anda pengikut Adams Digital, mid bass ini antara yang menghasilkan bunyi ‘lantang’, sesuai untuk mendapatkan ritma SPL luaran yang mementingkan kuasa berbanding segalanya. Melengkapi set mid ini ialah 2 unit tweeter jenis horn yang diletakkan pada posisi paling atas di kawasan pembinaan sistem tadi. Bagi unti tweeter ini pula, dikuasakan oleh amplifier 2 channel Adams Digital ADS-80.2.
Julat sebenar antara bunyi, kuasa dan pemasangan datangnya dari sistem penalaan yang betul. Pada keseluruhan pembinaan, sistem begini adalah mudah untuk dilaras dan diperbetulkan sekiranya sebarang pembaikan ingin dibuat. Bagi sebuah kedai aksesori, ia adalah sistem mudah, “straight to the point” dan memudahkan penerangan dibuat pada pelanggan yang inginkan maklumat lanjut. Sistem boleh terus diperdengarkan satu persatu dan kejelasan setiap speaker dan keluaran kuasa mampu dibuat serentak tanpa perlu penalaan yang rumit.
Kalau begitu adakah sistem ini tidak sesuai dengan kereta harian? Tidak. Ia masih sesuai asalkan anda tidak kisah jadikan Kancil hanya hanya tinggal 2 tempat duduk!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 49





























