Kenapa perlu pilih sebuah kereta yang kecil untuk demonstrasi peralatan audio? Itulah persoalan pertama yang bermain di benak ketika merakam gambar kereta ini. Dari segi praktikalnya, kereta bersaiz Mini bukanlah pilihan yang ideal untuk German Maestro jadikan sebuah kereta demo produk untuk pelanggan mereka. Namun setelah melihatnya dari sudut strategi pemasaran barulah faham kenapa model ini dipilih.
Mini. Terlalu panjang sejarah kereta ini kalau hendak diceritakan. Kereta ini telah dinobatkan sebagai ikon dalam industri automotif. Produksinya bermula dari zaman Perang Dunia Kedua hingga ke penghujung abad ke 20. Bila BMW membeli Mini pada 1999, Mini generasi baru dilahirkan semula dengan versi R50, seperti yang dapat dilihat dalam paparan kali ini.
Kereta ini milik German Maestro. Pernah dengar jenama ini? Baiklah. Ia adalah salah sebuah jenama audio dari Jerman. Bila berkata tentang Jerman, anda berbicara tentang sebuah negara yang dikelilingi oleh teknologi. Jerman adalah negara yang tidak berbahasa Inggeris tetapi sangat maju dari segi teknologi. Baik dari sudut kepenggunaan, saintifik hinggalah automobil, Jerman dianggap agung di Eropah.
Sebuah negara yang maju pastinya melahirkan pelbagai kemajuan teknologi, dengan itu juga, tidak hairanlah German Maestro mudah mendapat tempat di kalangan peminat audio tempatan bilamana diperkenalkan tidak lama dahulu. Lebih dari itu, sebelum memulakan ‘bisnes’ di Malaysia, mereka telah terlebih dahulu menyiapkan projek akustik bergerak, sebuah Mini Cooper dengan sistem audio lengkap.
Pemain CD Pioneer DEH-P80RSII dipilih untuk mengetuai sistem utama audio ini. Tidak semua orang arif dengan selok-belok Pioneer. Kebanyakan kaki-kaki I.C.E yang baru seakan skeptik bilamana diberitahu bahawa ini adalah antara player aktif yang bagus. Betul kah begitu? Sebaik sahaja butang menu ditekan di paparan pemain utama ini, dapat dilihat dengan jelas berapa banyak dan telitinya frekuensi yang boleh dilaras! Wah ini sudah bagus!
Bagi seunit pemain yang mempunyai lengkok talaan yang pelbagai, ia memberi kelebihan terhadap apa yang akan anda lakukan kelak. Ia ibarat had antara E-Manage dan sebuah Power FC. Satu talaannya terhad dan satu lagi, tak terlarat nak setting. Pemain Pioneer ini yang turut datang dengan keluaran RCA pelbagai membolehkan setiap unit saluran dipasang pada laluan berbeza lantas muzik mampu dilaras terus pada pemain utama, tidak perlukan pemproses kedua seperti pre-amplifier atau pemproses digital.
Dengan kemampuan itu juga, sistem kereta ini telah disambungkan terus ke dua amplifier yang tidak kurang hebatnya. Amplifier yang dimaksudkan ialah amplifier 4 Channel Crossfire BM 600.4700. Satu dari amplifier ini memacu komponen mid bass yang dipasangkan pada perumah panel pintu. Pemotongan frekuensi dilakukan oleh sebuah crossover pasif yang mana jika anda melihat pada saiznya, pasti anda yakin dengan kemampuannya. Tweeter dari mid bass ini dipasangkan kemas di atas pemegang pintu dalam, paling hampir dengan kedudukan mid bass. Memandangkan kemampuan amplifier ini agak tinggi, pemasangan 2 channel secara bridgeable mungkin keterlaluan, tetapi jika anda dah dengar apa yang mampu dilakukan oleh mid bass M-Line MS6508, pasti teruja!
Satu lagi unit Crossfire BM 600.4700 telah diyakini untuk memandu 2 unit subwoofer German Maestro 10” yang ditanam di dalam enclosure custom pada but belakang. Subwoofer ini dipasangkan secara terbalik atau lebih dikenali sebagai reverse. Ia adalah salah satu cara mendapatkan bunyi bass frekuensi rendah paling bagus. Jika anda biasa dengan subwoofer jenis aktif, biasanya teknik reverse ini diaplikasikan sebagai satu pilihan. Tetapi itu cuma efeknya sahaja sedangkan jika dipasangkan secara fizik begini, kualiti bunyinya memang tidak dapat ditandingi. Bagaimanapun, teknik begini sesuai untuk mereka yang mahukan ‘kedalaman’ (depth) bunyi dan bukannya dentuman semata-mata.
Posisi pemasangan, teknik serta pemilihan komponen yang ringkas telah melengkapkan projek Mini ini. Ya, hanya dua unit subwoofer dan dua unit mid untuk Mini ini, tidak seperti yang selalu dipaparkan pada anda sebelum ini. Sistem ringkas tetapi mampu memberi input sebenar kepada pendengar bagaimana kejelasan dan kepadatan bunyi mampu dihasilkan oleh sistem audio yang dipasangkan ke atas Mini ini.
Sebuah sistem SQ yang bagus, lazimnya datang dengan komponen yang ringkas. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Tetapi jika anda mendengar sendiri muzik yang terhasil dari sistem ini, barulah boleh dihakimi hasilnya. Sistem yang bagus selalunya menghasilkan bunyi mengikut staging yang diinginkan, tidak kira sama ada ia 2 atau 20 speaker.