Berbanding sistem talaan SPL, pemasangan sistem audio dengan talaan SQ adalah sedikit sukar kerana ia memerlukan pemasangan dan penalaan yang lebih terperinci. Penelitian di peringkat seawal pemetaan sistem di atas kertas juga memainkan peranan yang sangat besar serta penting. Lebih bertambah sukar, apabila pembinaan sistem ini membawa misi yang tersendiri. Ya, dibina untuk penyertaan pertandingan. Malah ia menjadi satu tanggungjawab yang besar apabila ianya pertandingan sehebat EMMA!
Beberapa hari lepas, pihak kami berkesempatan mengadakan satu sesi penggambaran dengan sebuah kereta yang baru sahaja ditabalkan sebagai juara dalam pertandingan anjuran EMMA yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini. Menepati jangkaan awal, kereta ini tampil sangat sederhana dan sememangnya begitulah kereta yang dibina dengan sistem audio talaan SQ. Yang menjadi juara adalah kualiti audio, bukan keretanya.
Dinobatkan sebagai juara kategori Master Unlimited, kereta Honda City berwarna putih bersih ini ditala oleh satu lagi installer yang mempunyai prestasi sangat cemerlang dan menjadi rujukan sebahagian besar ICER di Johor Bahru. Installer yang dimaksudkan adalah Top Change Car Audio. Tepat dengan namanya, installer ini menukar dan memberikan wajah baru kepada setiap kereta yang datang untuk sentuhan klasiknya. Beroperasi di Jalan Permatang 5, Top Change Car Audio sentiasa bersedia dan menerima setiap kereta yang datang sebagai satu cabaran dalam meningkatkan lagi kualiti dan kemahiran mereka.
Baiklah, pastinya ada antara anda yang sudah tertanya-tanya dan tidak sabar untuk mengetahui rahsia di sebalik kejayaan Honda City ini. Salah satu rahsia atau petua yang membuatkan ia berjaya muncul juara terletak atas penggunaan jenama yang melengkapi sistem audio City ini. Secara keseluruhannya, ia dilengkapi oleh satu jenama, Mercury. Jenama yang dilahirkan di Asia tetapi sebaris jenama hi-end dari Eropah. Tidak hairanlah, City ini tidak mengalami jalan sukar untuk bergelar juara. Selain Mercury, sistem audio ini turut menerima bantuan dari dua unit audio dari jenama Alpine, satu lagi jenama yang mempunyai pengaruh dan terkenal kerana prestasi cemerlang!
Dimulakan dengan pemain utama Alpine CDA-7998R yang membaca setiap format audio yang disumbatkan kepadanya dan ini termasuklah CD dan juga beberapa format lain. Kelebihan utama setiap pemain dari Alpine ini adalah pemproses dihasilkannya yang mana sesuai untuk kebanyakan pemain utama sedia ada di pasaran. Dengan adanya pemproses digital Alpine PXA-H800 dan C800 ini, separuh pertandingan telah pun dimenangi dengan mudah. Itupun hanya berlaku apabila tidak ada pesaing lain menggunakan sistem lebih kurang sama binaannya.
Sebagai salah satu installer berpengalaman, pastinya Top Change Car Audio sedia maklum dengan kriteria sistem audio yang layak digelar sebagai juara. Bukan setakat Top Change, saya kira banyak lagi installer yang membina sesebuah sistem audio berdasarkan kriteria bertepatan pertandingan yang dianjurkan. Maklumlah, bukan semua pertandingan memiliki kehendak yang sama tetapi apa-apa pun, objektif setiap penganjuran pertandingan adalah satu; untuk memilih sistem audio terbaik.
Berbalik kepada sistem audio tadi, dari pemproses isyarat seterusnya dihantar pula kepada 3 unit amplifier. Dua daripadanya adalah amplifier 2 channel Mercury K2S dan seunit lagi amplifier 4 channel Mercury K4S. Ketiga-tiga unit amplifier ini memainkan peranan yang berbeza kerana memacu speaker yang berlainan. Unit pertama amplifier 2 channel ini memacu 2 unit tweeter Mercury dari Kristal Series. Setiap satu dari unit tweeter ini pula digandingkan dengan seunit mid range dari Competition Series dan dipasangkan di kedua-dua belah tiang A. Bagi memacu kedua-dua unit mid range ini, seunit amplifier 2 channel Mercury K2S telah digunakan.
Melengkapi talaan SQ 3 hala ini, 2 unit mid bass dari Mercury Kristal Series digunakan dan dipasangkan pada perumah khas yang dilekapkan pada kedua-dua panel pintu. Pembinaan perumah ini mengambil kira staging yang tepat agar bunyi dikeluarkan setiap speaker di bahagian kabin sampai ke deria pendengaran dengan cukup harmoni serta mencapai kepuasan maksima sama ada kepada pemiliknya mahupun para juri yang menghakimi pertandingan. Unit mid bass ini dikuasakan amplifier 4 channel Mercury K4S dan berkongsi kuasa dengan seunit woofer 12” Mercury.
Top Change cukup pintar memasang woofer pada dinding sisi membuatkan tidak banyak ruang diperlukan. Ruang ini bertambah menarik kerana setiap amplifier dan pemproses disusun rapi yang ditutup pula dengan gelas akrilik. Pemasangan lampu mempercantikan lagi kawasan yang lazimnya suram ini. Sempurna? Ya. Cukup sempurna dan sesuai dengan gelarannya, sang Juara!