Mazda EFX Better Sound Effect
Jikalau dibuat perbandingan dengan kereta hatchback lain yang berada di jalanan di Malaysia, Mazda 2 mungkin tidak menduduki tangga teratas senarai. Ini kerana terdapat pelbagai model lain yang menjadi kegilaan para pencinta kereta khususnya golongan muda. Tidak dinafikan juga, untuk slot hatchback, Mazda menerima saingan yang cukup hebat dari pengeluar kereta lain.

Namun, ia langsung tidak mempengaruhi pemilik kereta ini yang tidak mengikut majoriti sebaliknya menurut kehendak dan citarasanya sendiri. Bagi menambahkan seri dan memberikan kuasa lebih kepada keretanya, Mazda 2 ini dilengkapkan dengan sebuah sistem audio yang cukup sederhana dan cemerlang. Itu yang penting bukan? Bak kata orang muda sekarang, “just nice!”

Percaya terhadap reputasi dipegang Monster Audio Visual, pemiliknya menghantar Mazda 2 kesayangannya dengan satu harapan; sistemnya harus secocok dengan apa yang dikehendakinya. Tidak menghampakan kehendak pemilik, installer memberikan sentuhan emas dan melengkapkan kereta ini dengan jenama EFX. Segala-galanya EFX kecuali pemain utama yang seperti biasa menggunakan DEH-P80RS dari Pioneer.

Menjadikan SQ sebagai talaan sistem audio untuk Mazda 2 ini, jadi tidak hairanlah apabila melihat tiada perubahan atau modifikasi ekstrem yang dilakukan. Meneruskan perjalanan sistem audio tadi, 2 unit amplifier telah digunakan. Seunit amplifier 4 channel dan seunit lagi amplifier monoblock. Amplifier 4 channel EFX 600C4 digunakan untuk memacu 2 unit speaker komponen EFX C65 yang dipasangkan pada panel pintu. Amplifier ini turut memacu 2 unit tweeter EFX yang dilekapkan pada pemegang khas di pillar A.


Sebagai penutup kepada sistem audio serba ringkas ini, seunit woofer 12” EFX 124D yang dipacukan pula seunit amplifier monoblock EFX 1000C1. Woofer ditanamkan di bahagian but belakang kereta, menggantikan tempat letaknya tayar pengganti. Bagi mengindahkan pemandangan di bahagian ini, woofer tadi ditutupkan dengan penutup arkilik yang diukir mengikut lambang Mazda. Menarik? Ya. Lebih menarik lagi apabila bunyi yang dialunkan menerusi sistem audio ini. Merdu dan tenang, buat hati jadi senang!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 40



























