Kereta bagus dengan sistem audio terbaik. Kedengaran seperti sebuah sedan mewah dari Jerman atau SUV premium dari Jepun. Padahal, ia sebuah Mazda 3 MPS, sebuah hatchback yang agak biasa sahaja dari segi profil. Kereta ini boleh dibeli pada harga RM170 ribu, baru, diimport sepenuhnya dari Jepun dan merupakan model tertinggi dalam keluarga Mazda 3.
Enjin berinduksi turbo dan transmisi manual 6 kelajuan itu sesuatu yang susah untuk ditemukan dalam dunia automotif moden hari ini. Namun hakikat bahawa model ini boleh dibeli merupakan satu peluang bagi pemiliknya dari Ipoh yang saya kira mungkin satu-satunya MPS yang boleh anda lihat di Bandaraya tersebut. Kereta ini tidak dipasarkan seperti Vios. Pasarannya kecil dan pembelinya benar-benar khusus.
Namun seperti juga Civic Type R, Evolution dan Subaru Impreza, kereta berorientasikan sports tidak akan datang dengan sistem audio yang premium. Bunyi enjin dan ekzos lebih mendapat perhatian jurutera berbanding audio yang dikeluarkan pembesar suara. Justeru, pemilik tidak mempunyai pilihan lain jika memiliki telinga yang sensitif dan nafsu kelajuan yang buas.
Pertama kali melihat Mazda 3 ini di salah sebuah pusat pengedar Mosconi di Ipoh saya agak terkejut, ada juga orang luar Lembah Klang yang membeli kereta ini. Apa yang saya maksudkan, kereta begini pasarannya lebih tertumpu di bandar besar seperti KL. Tapi seperti yang dimaklumkan tadi, ia adalah mesin yang hanya dibeli oleh mereka yang benar-benar berpengetahuan dan meminatinya.
Dipasangkan dengan pemain DVD Pioneer AVH-P5350DVD bersama DEH-80PRS ia adalah gandingan mantap yang menghasilkan kualiti keluaran audio dan visual yang tiada tandingan. Jarang yang memilih set-up begini melainkan anda mahu keduanya, audio dan visual. Kalau 10 tahun yang lalu, tidak ada produk sebegini di pasaran yang menawarkan kualiti sebaik ini. Namun sekarang pilihannya semakin banyak. Malah pemain biasa sekalipun telah menggunakan chipset yang mampu menghasilkan suara yang ‘crisp’ tanpa pemproses luaran.
Ia kemudiannya disambungkan kepada 3 unit amplifier untuk penetapan sistem bunyi 2 hala. Amplifier tersebut bukanlah unit biasa-biasa, ia terdiri daripada dua unit amplifier 2 channel; Gladen One 120.2 yang memacu unit tweeter dan Gladen One 240.2 dari Mosconi pula memacu woofer. Seunit lagi adalah amplifier 4 channel Gladen One 120.4 yang bertugas memacu barisan mid. Pembuat audio dari Itali ini amat serius dalam menghasilkan komponen buatan tangan yang menepati kehendak pemain audio SQ premium.
Susunan lazim sistem 2 hala ini meliputi bahagian penting. Di pillar 2 unit tweeter Audio System dengan perumah asal digantung di bahagian pillar. Secara teorinya, ia bukan posisi pemasangan yang mampu menghasilkan kualiti bunyi optimum. Unit tweeter ini memerlukan ruang belakang untuk memastikan kedapan yang cukup bagi membolehkan udara menolak kon depan. Kerana itu jugalah pillar jenis custom direka agar sudut pemasangan boleh diubah mengikut kehendak penala pada posisi dikehendaki. Namun bergantung pada logiknya juga, saya kira mungkin pemilik kereta ini sayang untuk mengorbankan pillar asal dan mengambil keputusan untuk menebuk 2 lubang sahaja untuk ‘menggantung’ tweeter dengan perumah aluminium tersebut.
Speaker mid 6” diposisikan semula di bahagian panel pintu. Pemasangan dibuat secara terbuka pada perumah asal dengan tebatan papan nipis. Speaker ini tidak dilindungi jejaring dan dibiarkan dengan sepasang pagar asal. Unit mid ini merupakan siri mid Audio System HX 165 Dust MKII yang sangat popular di pasaran. Di sebelah Eropah, mereka menggunakan mid ini bagi menggantikan unit standard dan hanya dipacu amplifier tanpa menukar pemain utama. Ia mid dengan reputasi band wave yang tinggi dengan bunyi vokal nyata dan jelas.
Audio System dipilih lagi untuk mengekstrak bunyi bass. Kali ini, woofer Audio System MX10 Plus dipasangkan bersama amplifier 2 channel G One 240.2. Saiz 10” bukanlah justifikasi kepada bunyi bass berdentum dentam, tapi cukup dengan keharmonian bunyi keseluruhannya. Bila saya kata cukup, ia sebenarnya memang cukup.
Kereta ini dibina bukan sahaja untuk bunyi, malah penampilan keseluruhan binaan tadi dibuat dengan sangat kemas. Komponen amplifier dipasangkan di bahagian lantai but belakang bersama dengan alatan membaiki yang disimpan kemas dalam bekas lutsinar. Sentuhan yang diberikan memaparkan imej yang sederhana tapi masih tampak memukau. Inilah sentuhan audio sebenar.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 36