Sebaik sahaja memiliki SUV ini, Steven yang juga pemiliknya terus merujuk ke pusat pemasangan dan tekad membina sistem audio dengan talaan SQL demi memenuhi citarasanya. Kenapa SQL? Memandangkan sering menggunakan SUV ini, beliau mahu menjadikan ia sebagai teman perjalanan yang menyenangkan untuk berulang pergi kerja dari pejabat ke rumah dan begitu juga sebaliknya.
Steven memberi tumpuan sepenuhnya di bahagian belakang untuk menempatkan sistem audio idamannya. Sebanyak lima set speaker dipasang mengelilingi pintu belakang. Sebaik sahaja pintu belakang dibuka, suaranya menyembur kuat di telinga. Di tempat duduk penumpang di bahagian belakang pula, installer telah melengkapi bahagian ini dengan speaker 3-way dari Soundstream Tarantula.
Selain menjadi peneman, Steven juga sering menyertai pertandingan audio. Beliau pernah menyertai pertandingan menerusi SUV ini dalam kategori SQL 2 woofer. Frekuensi rendah dari dua subwoofer Directed Audio ini sudah cukup untuk membantu sistem audio ini mencuri perhatian para juri. Bukan itu sahaja, beliau turut mengambil berat tentang soal kosmetik SUV miliknya dan menambah lampu LED yang boleh berubah dengan pelbagai warna.
Soal menang atau kecundang, tidak menjadi masalah kepada Steven. Beliau menyertai pertandingan audio pun semata-mata mengukur kualiti sistem audionya. Orang kata apa? Setakat suka-suka. Kalau bernasib baik, boleh menang. Kalau kalah, boleh cuba lain kali.