Kata orang ‘melakukan perkara biasa dengan cara yang luarbiasa’ adalah lebih bagus dari ‘melakukan perkara luarbiasa dengan cara biasa’. Misalnya, anda berduit untuk melancong. Dari memilih melancong ke negara-negara maju seperti Eropah, Jepun atau Amerika, sebaliknya cuba pilih destinasi yang lebih terpencil seperti di pedalaman India, melawat kesan Tunguska di Rusia ataupun bersama orang asli di hutan Amazon. Satu lagi falsafah ialah ‘normal itu membosankan’, benar?
Itu cuma angan-angan. Katakan anda mempunyai bajet seratus ribu ringgit dan ingin membeli sebuah kereta baru. Bukan Vios, bukan City dan bukan Civic atau Altis. Namakan kereta yang mungkin jatuh dalam senarai ini. Jazz? Mungkin masih maintsream. Bagaimana dengan Honda Insight?
Semasa kereta ini dibawa masuk pada tahun 2010 dahulu, ia bagaikan satu fenomena di Malaysia. Jualannya tiba-tiba melonjak. Tak dinafikan, ia sebuah kereta hybrid yang mampu milik jika dibandingkan pada ketika Prius dijual pada harga RM170,000 dan Lexus CT200 RM200,000. Saingannya untuk kereta sub 100K tidak ada dalam kategori hybrid ini.
Ketika ini juga banyak aksesori dihasilkan untuk Insight. Banyak cara ia dimodifikasi dan salah satunya mungkin terjebak dalam dunia audio kenderaan. Kereta yang dibina oleh pihak Top Racing di Serdang ini salah satu contoh unik sebuah kereta yang jarang dikorbankan untuk apa juga bentuk modifikasi.
Kereta ini dipasangkan dengan pemain utama Clarion HX-D2. Ia adalah pemain high-end Clarion yang cuba bersaing dalam kelas SQ. Kelebihan pemain ini berbanding pesaingnya ialah harga yang mampu milik serta kombinasi fungsi terbaik. Keluaran RCA 4 saluran bersama kawalan bass antara ciri penting disamping kebolehan pemproses analog kepada digital serta kepantasan 24 bit yang dimiliki.
Pemain ini disambungkan dengan pemproses sekunder PS8 dari ARC Audio. Setiap baris frekuensi dan talaan dilakukan pada peringkat ini. Kekangan kuasa dari pemain utama adalah masalah lazim yang membelenggu pembina sistem audio, hatta untuk sistem paling ringkas sekalipun. Apa lagi dengan memastikan kuasa ini stabil sebelum sampai kepada unit speaker yang dipasang. Bagi tujuan ini, dua unit kapasitor Mundorf 1.0 farad dipasangkan bersama fius 5.0 sebelum dicantumkan ke laluan amplifier.
Amplifier yang dipasangkan ialah dari jenama ARC Audio, sebanyak tiga unit amplifier dipasangkan yang terdiri dari model 2300SE, 4100SE dan 4200SE. Ketiga-tiga unit amplifier ini mengkhusus kepada speaker masing-masing tanpa melibatkan mana-mana bridging laluan pemasangan.
Set frekuensi rendah dipertanggungjawabkan kepada amplifier 2 channel ARC Audio 2300SE kelas D yang bertindak menguasakan dua unit woofer 10” berjenama Lume, Lume 10. Amplifier 4 channel ARC Audio 4100SE pula disambungkan kepada frekuensi mid bass dari speaker ARC Audio AH30.6. speaker 6.5” ini hanya memotong frekuensi vokal paras sederhana sementara amplifier 4 channel ARC Audio 4200SE pula menapis frekuensi yang lebih tinggi.
Pemasangan jenis komponen; dibuat untuk 4200SE dengan melibatkan dua unit mid bass 3” ARC audio dan dua unit horn tweeter ARC Audio 30.6TIND. Berbeza dengan pemasangan set komponen jenis konvensional yang ditapis frekuensinya menggunakan crossover analog, tapisan pertama dilakukan di diperingkat awal lagi oleh pemproses suara PS8 yang digunakan.
Kalau melihat pada tema pemasangan pula, ia boleh dikatakan berkonsep elegan sporty. Pemilik memilih warna gelap tanpa gabungan warna lain, kecuali warna dari cahaya LED yang mengelilingi setiap bahagian yang dipasangkan. Pemasangan dan susunan peralatan audio ini juga dibuat secara terus tanpa bentuk luar biasa, cuma garis-garis simpang yang berfungsi menghalang sebarang objek jatuh kepada sub yang diletakkan di lantai ruang bagasi.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 72