Gabungan Permotoran Utara (GPU) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara telah menganjurkan Lepak Santai Permotoran Utara yang diadakan pada Ahad bersamaan 3 Mac yang lalu. Diadakan sempena Pesta Angin Timur Perlis 2019, acara yang berlangsung di Kompleks DUN Kangar telah dimulakan sekitar jam 9.00 malam dengan kehadiran peserta serta para pengunjung yang cukup menggalakkan.
Selain audioshow, autoshow, motorshow dan lepak santai pada sebelah malamnya, terdapat juga aktiviti lain yang diadakan di sebelah siangnya iaitu Cubcross, Motor Bendang. Perkarangan Kompleks DUN Kangar berubah wajah menjadi meriah dengan kehadiran kereta-kereta yang telah dimodifikasi cukup unik. Malah, kehadiran motor-motor klasik juga menceriakan lagi suasana penganjuran acara ini.
Lepak Santai Permotoran Utara tidak akan meriah tanpa kehadiran kelab-kelab permotoran sudi meluangkan masa untuk memeriahkan lagi acara. Antara kelab-kelab kereta, autoshow, audioshow dan team motor klasik, retro & streetcub dari Kedah dan Perlis yang hadir menyemarakkan lagi penganjuran acara ini termasuk KSIP, TSC, SIMC, PAKAU, KCar Sporting, PSOC, KKMG PS, HONDA RS, CUC, GWFM, APRO, STREETCUB, Iriz, PKC, Oldskool dan Hello Kitty.