Kevin & Satria Revenge Digital
Saya baru tukar telefon bulan lepas, Ia memang benda yang paling saya benci. Kalau tak kerana telefon lama yang lembab serupa siput, “hang” lebih banyak dari waktu dia stabil, maka dah sampai masanya dihumban ke sungai. Kali terakhir saya tukar telefon 4 tahun lepas, dan bayangkan betapa banyaknya maklumat yang disimpan.
Nak biasakan diri dengan telefon baru juga satu masalah. Nombor dan info pemilik kereta ini pun terpaksa saya selongkar, Google, synchronize dengan macam-macam cara barulah dapat semula. Nasib baik android ni jenis telefon yang canggih juga, senang sikit buat kerja.


Baiklah, nama saudara ini Kevin Xavier dan merupakan presiden bagi kelab Ace Crew Motorsport dari Klang. Kelab ini antara yang aktif dalam aktiviti autoshow, kereta berhias, lampu liplap liplap dan sistem audio riuh sekampung. Kereta Proton Satria 1.5 Kevin ini merupakan model Edisi Khas berwarna kuning yang dikeluarkan di penghujung usia Satria. Dibeli baru waktu itu, tak banyak yang dibuat dek Kevin, maklumlah nak belanja barang mahal dan bajet terhad.
Sewaktu berpindah ke tempat kerja baru dengan tawaran gaji lebih baik, Kevin sedikit demi sedikit mula mengubahsuai Satria ini. Ia bermula dengan pemadanan Bodykit Satria R3 yang dikemaskan dengan diffuser yang dibuat oleh Extreme Zon Bodykit. Reka tema badannya dibalut penuh oleh Yazan Style dengan imej merah kilat yang dicampur dengan hitam matt. Imej watak Sonic dipilih sebagai tema keseluruhan.


Kemudian beliau beralih ke bahagian enjin. Sistem ekzos dipasangkan dengan Jasma Performance dengan paip berdiameter 1.7 inci dan manifold 4-2-1. Di samping itu, turut ditukar ialah kabel palam pencucuh dan penapis udara K&N filter.
Setelah lama memandu dan bajet yang dikumpul semakin banyak, Kevin sudah bersedia merombak keseluruhan bahagian kokpitnya. Kesemua bahagian panel, kerusi, bumbung dan papan pemuka telah dibuat semula menggunakan bahan yang sesuai. Beliau memilih warna Selangor, merah kuning di segenap penjuru sebagai tema. Beliau turut memasang alat tambahan seperti turbo timer HKS meter Oil Presure, Air Intake dan Vacuum.


Untuk sistem audio, beliau mendapatkan khidmat installer terkenal New Sound Quest. Beberapa siri perbincangan dibuat untuk mendapatkan tema serta bajet yang diperuntukkan. Kevin cuba mengimbangi antara kualiti bunyi dan juga visual persembahan, justeru beliau memilih untuk menggunakan 6 buah skrin 1.7 inci yang ditempatkan di bahagian strategik.
Pemain utamanya ialah unit 2-din dengan fungsi DVD dari Trans. Seunit amplifier Trans 2 channel, seunit amplifier Mohawk 4 channel dan seunit amplifier monoblock Bazoka mengendalikan kesemua output kuasa sistem ini. Ia dipasangkan dengan 6 unit speaker mid bass U-Dimension, 4 terletak di belakang boot dan dua unit lagi pada panel pintu depan. Tweeter untuk sistem dalamannya menggunakan jenama Mohawk sementara untuk sistem belakang dipilih dari jenama U-Dimension.

Dua unit woofer 12” magnet berkembar dengan coil tunggal jenama Revenge Digital melengkapkan keseluruhan sistem audionya. Sepertimana kerja-kerja New Sound Quest yang pernah kami siarkan sebelum ini, kualiti pemasangannya memang tidak boleh dipertikaikan. Kerja mereka memang superb dan tak hairanlah ramai yang pada awalnya nak buat sikit tapi akhirnya dirombak sistem secara keseluruhan.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 82





























