Setelah menyepi setahun lalu, KL Fest Satria Gathering kembali memeriahkan dunia permotoran Malaysia dengan penganjuran kali ketiga yang berlangsung dengan jayanya pada 2 Februari di Dataran Merdeka. Diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020, acara ini menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran bukan sahaja para pencinta modifikasi permotoran malah dimeriahkan lagi dengan kehadiran para pengunjung.



Dianjurkan oleh Persatuan Autoshow Malaysia (PAM) khususnya usaha keras tuan presiden, En. Roslan Jebat yang memastikan program ini berjalan lancar dengan kerjasama ketua-ketua, kru-kru kelab dan marshall yang bertugas. Bagi menyemarakkan lagi penganjuran KL Fest Satria Gathering 3.0 ini, pelbagai aktiviti telah disediakan penganjur sekali gus memadatkan lagi aturcara yang dimulakan dari pukul 10.00 pagi dan berakhir sekitar pukul 7.00 petang.

Antara aktiviti yang disediakan dan menerima sambutan dari para peserta termasuk Best Sports Car Category, Best BMW Category, Best Old School Category, Trophy Best Satria Car Club Gathering dan Trophy Best Satria Autoshow. Turut diadakan acara Treasure Hunt di mana para peserta perlu mengambil gambar swafoto (selfie) bersama presiden Persatuan Autoshow Malaysia, En. Roslan Jebat.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur terutamanya Persatuan Autoshow Malaysia kerana berjaya mengembalikan kemeriahan KL Fest Satria Gathering. Tahniah juga diucapkan kepada para pencinta dunia permotoran yang mengambil bahagian sekali gus memeriahkan lagi dunia permotoran. Semoga acara yang sama terus diadakan di masa akan datang.
































