Diusahakan oleh BIG Sumo Enterprise, Negeri Sembilan International Auto Salon ini dianjurkan buat julung kalinya dengan sokongan dari Kerajaan Negeri Sembilan dan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Berlangsung di Rapid Mall di Seremban 2, acara ini menawarkan pelbagai aktiviti diikuti pameran autoshow terbesar.

Acara yang diadakan selama 3 hari berturut-turut ini berjaya menarik penyertaan sebanyak 60 buah kereta yang datang bukan sahaja dari Malaysia, malah turut dimeriahkan lagi oleh para peserta dari Thailand dan Singapura. Lebih menarik lagi, kereta-kereta ini tampil dengan modifikasi cukup unik seperti yang telah dimodifikasi oleh KJModify dari Thailand.

Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuklah pameran dan pertandingan autoshow, audio, Car Boot Sale, juga disediakan ruang untuk kanak-kanak dan macam-macam lagi. Bagi pertandingan autoshow, beberapa kategori telah disediakan dan menjadi salah satu tumpuan para pengunjung dengan kehebatan yang dipamerkan kereta-kereta yang dipertandingkan.

Selain itu, acara turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan segmen lain. Antara segmen yang menjadi tarikan utama adalah Cabutan Bertuah dengan hadiah lumayan bernilai RM10,000 menjadi rebutan para pengunjung yang hadir. Penyertaan kereta-kereta retro dan klasik serta streetcubs mewarnakan lagi suasana. Malah kehadiran kelab-kelab kereta yang mengunjungi acara ini menyemarakan lagi tapak acara.

Dengan hanya membayar RM2 sebagai yuran masuk, para pengunjung dihidangkan dengan pelbagai aktiviti menarik serta berpeluang mendapat informasi tentang jenama yang diminati terus dari gerai jualan yang disediakan sepanjang acara berlangsung.

Walaupun diadakan buat kali pertama, penganjur telah pun berjaya ekoran sambutan yang amat menggalakan bukan sahaja dari para pencinta dunia permotoran tetapi juga kehadiran para pengunjung yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Diharapkan acara ini terus diadakan pada tahun-tahun akan datang dengan pengisian aktiviti lebih padat dan mantap lagi.









































