Salah satu karnival dunia permotoran yang menjanjikan keseronokan dan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai oleh semua orang tentunya Auto-City Carnival. Penganjuran Auto-City Carnival sering menjadi tumpuan dan menerima sambutan yang amat menggalakkan bukan sahaja datang dari para peserta dan pempamer, malah tapak karnival dimeriahkan ini dimeriahkan lagi dengan kebanjiran para pengunjung yang meluangkan masa berhujung minggu di karnival ini.

Acara tahunan ini sentiasa dipadatkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang dapat disertai oleh seluruh lapisan masyarakat. Lazimnya, karnival diadakan selama 3 hari dan antara aktiviti yang diadakan sepanjang acara berlangsung termasuk persembahan pentas oleh band-band yang berjaya memukau para pengunjung dengan persembahan bertenaga, persembahan DJ yang dijemput khas, diikuti pertandingan modifikasi kereta dan juga pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Kali ini, Kar HiFi ingin menggamit kenangan penganjuran Auto City Carnival yang diadakan pada tahun 2018 di mana tarikan utama yang dinanti-nantikan para pengikut tegar acara ini adalah Miss Auto-City Beauty Pageant. Diikuti pameran kereta-kereta antik, Super Car, Volvo Pop-Up, Party Queen, Radio Controlled Drifting Competition, Beauty Parade dan pameran superbike. Para pengunjung yang membanjiri tapak berpeluang menyaksikan barisan kereta dan motosikal yang telah dimodifikasi. Ada juga yang mengambil kesempatan ini dengan merakamkan gambar kenangan bersama kereta dan motosikal yang unik ini.

Penganjuran Auto-City Carnival ini turut disertai para pempamer yang terdiri dari jenama terkenal dunia permotoran dari seluruh Malaysia dan juga peniaga kecil-kecilan bagi memeriahkan lagi ruang pameran. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh para pempamer dengan menyediakan aktiviti-aktiviti menarik di gerai masing-masing. Malah, ada yang memberikan diskaun dan mempromosi produk keluaran terbaru. Kemeriahan karnival ini turut diraikan di sebelah malamnya dengan kehadiran kereta-kereta yang telah dimodifikasi sekali gus mewarnakan lagi kehangatan Auto-City Carnival.




























