Agak lama juga tidak dihidangkan dengan sebuah modifikasi audio yang lengkap sebegini. Gambar-gambar dan segala informasi tentang Axia ini diserahkan oleh wakil kami iaitu Pak Art dari bahagian utara sejak tahun lepas lagi. Atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, akhirnya berpeluang juga menghadap dan membelek Axia emas ini sejak dari pagi tadi. Satu yang melintas di kepala otak, berapa kos tuan punya dah belanjakan untuk Axia ni?
Perkara pertama yang diteliti tentulah diagram sistem audionya. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Semacam terubat rindu dibuatnya. Sistem beginilah yang dinanti-nantikan, bukan sahaja saya sebagai penulis tetapi juga para pembaca khususnya peminat dunia audio. Biarpun dunia audio kereta semakin perlahan sejak sebelum pandemik menyerang dunia lagi, saya yakin masih ada ramai peminat tegar ICE dengan sistem audio begini. Apa orang kata? Benda jarang jumpa, bila dah jumpa siapa nak buang masa. Ya tak?
Tanpa membuang masa, kita teruskan dengan penelitian sistem audio yang dipasangkan ke atas kereta milik Mohd Faizal Bin Mohd Azmie atau lebih mesra dikenali sebagai Chik Jan. Bertugas sebagai petugas di sektor awam, Chik Jan yang sudah berusia 32 tahun ini berkecimpung dalam dunia audio lebih kurang 4 tahun lepas. Seperti anak-anak muda lain yang baru hendak berkenalan dengan dunia audio ketika itu, Chik Jan juga termakan ‘racun’ dan mula bergiat aktif dengan menyertai kelab kereta MyAxia Owners Club.
Bila sudah menyertai kelab kereta, bermulalah kerja-kerja modifikasi yang dilakukan ke atas Perodua Axia Advance ini. Jujurnya, warna keemasan yang dipilih menutupi badan Axia ini benar-benar menarik perhatian. Chik Jan memilih warna G Kandy Sparkling Yellow Japan yang dipadankan pula dengan warna hitam emas di bahagian bonet hadapan. Memang tak lepas mata memandang. Tambahan pula, ia tampil kemas tanpa pelekat-pelekat yang melampau atau menyakitkan mata. Kilauan rim Krance Venae Japan 17 inci juga tidak kalah. Berkilat.
Kita tinggalkan dahulu konsep VIP Style yang digunakan dalam menghias bahagian interior sebab dah lari jauh dari tujuan asal untuk meninjau sistem audio yang dipasangkan. Apa boleh buat? Cun sangat auranya, sampai terlupa. Baiklah, kembali ke tujuan asal. Sistem audio Axia ini dimulakan dengan sebuah pemain utama android 10 inci yang mengantikan pemain asal dari kilang. Skrin yang lebih luas dan mudah ditala mengikut kehendak hati Chik Jan. Bagi melicinkan proses penghasilan isyarat yang bersih, seunit pre-amp 7 band dari KLM Audio XI telah digunakan dan dibekalkan kuasa yang cukup dari power capacitor 2 farad juga dari KLM Audio X1.
Chik Jan telah menghantar kereta Axia miliknya ini ke kedai H-Two Audio Wiring bagi tujuan pemasangan sistem audio. Bagi makluman, sistem audio ini dibahagikan kepada dua; dalam dan juga di bahagian belakang. Sebanyak 4 unit mid bass 6 inci dari KLM Audiospeaker dan 2 unit coaxial speaker Morel telah dipasangkan. Bagi sistem audio di bahagian dalam, sebanyak 2 unit mid bass digunakan dan setiap satunya dipasang di setiap panel pintu di bahagian hadapan. Manakala 2 unit coaxial speaker pula dipasangkan di panel pintu bahagian belakang. Melengkapi sistem audio di bahagian ini, dua unit tweeter berukuran 1.5 inci dari Morel dipasangkan di pillar A.
Tidak banyak speaker digunakan untuk bahagian belakang. Hanya 2 unit mid bass 6 inci dan 2 unit horn tweeter dari KLM Audio digunakan. Keempat-empat speaker ini ditempatkan dalam perumah khas yang turut ditanamkan bersama 6 unit monitor. Sistem audio di bahagian belakang ini, Chik Jan memilih untuk menggunakan talaan SQ dan hanya satu unit woofer 12 inci dari Rockford Fosgate telah ditempatkan dalam perumah yang sama. Mungkin ada yang bertanya, berapa unit amplifier pula yang digunakan untuk menguasakan kesemua speaker dalam Axia ini? Hanya seunit amplifier 5 channel siri Punch dari Rockford Fosgate telah digunakan.
Berbalik kepada hiasan interior seperti yang disebut awal tadi, Chik Jan telah memilih konsep VIP Style. Kerusi asal telah ditukar dengan kusyen sport yang dibuat khas oleh Samad Kusyen (Sg. Petani, Kedah), menggunakan dua warna utama iaitu merah dan putih. Padanan yang cukup menarik dan paling penting, kemas. Memang boleh nampak kalau ada sehelai rambut jatuh atas kusyen.
Setelah melihat keseluruhan modifikasi, tentu anda juga tertanya-tanya kos yang telah dibelanjakan. Pastinya bukan sedikit. Dan ada satu lagi perkara yang menarik perhatian, tulisan Kikie Lala Motorsport pada rod antena Axia ini. Pergh… eksklusif!