Sebelum pelancarannya yang dijadualkan pada 23 Jun ini menerusi konsert Civic Tour Remix yang diadakan secara maya di Youtube, Honda telah mendedahkan tiga imej Honda Civic Hatchback 2022. Sebagaimana Honda Civic sedan, Civic Hatchback baharu ini juga menampilkan rekaan yang lebih matang berbanding model terdahulu.Bahagian hadapan Civic Hatchback terbaharu ini seharusnya tampil lebih elegan dan cantik berbanding sedan serta beberapa perubahan ketara khususnya di bahagian belakang termasuk fascia belakang dan juga garisan bahagian atapnya. Tidak banyak yang dapat dikatakan menerusi imej-imej yang didedahkan oleh Honda. Namun, apa yang pasti ada perbezaan pada lampu belakang berbanding yang terdapat pada Civic sedan.
Menurut Honda, Civic Hatchback ini akan dibina di kilang yang terletak di Indiana dan pertama kali Civic Hatchback dibangunkan di Amerika Syarikat. Manakala Civic sedan 2022 telah dibangunkan di Alliston, Ontario, Kanada.Buat masa ini, tidak banyak maklumat yang boleh dikongsikan tetapi berkemungkinan ianya akan menggunakan enjin yang sama digunakan oleh Civic Sedan, enjin 4-silinder natural-aspirated 2.0 liter dengan 158hp serta tork 138lb-ft dan juga enjin 4-silinder turbocharged dengan 180 hp dan tork 177lb-ft. Kedua-dua enjin ini didatangkan sebagai standard dengan CVT. Namun, Honda telah mengesahkan Civic Hatchback baru ini disepadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan, eksklusif untuk Civic Type R baharu.
Sumber : Carscoops