Pagi itu kami bergerak ke JB untuk satu sesi penggambaran yang melibatkan beberapa buah kereta audio. Sebenarnya dah lama juga tak turun Johor kerana sibuk dengan tugasan kerja di KL ni yang tak pernah habis. Disebabkan panggilan telefon yang tak berhenti, hajat orang-orang JB terpaksa juga kami tunaikan. Maklumlah, mereka antara penyokong paling besar majalah ini dalam Semenanjung Malaysia.

Kereta ini terdiri daripada beberapa buah geng Avanza, Almera dan Myvi yang hadir. Pada tahun 2016, Proton Wira masih lagi sebuah kereta yang popular digunakan untuk tujuan modifikasi. Dibina oleh pihak VIN Audio yang terletak di Kulai, sama seperti barisan yang pernah kami siarkan sejak beberapa bulan lepas.

Walaupun nampak biasa sahaja dari luar, Proton Wira yang menggunakan balutan pelekat ungu ini telah dimuatkan dengan sistem audio yang tak kurang hebatnya. Sebagai seorang warga negeri Johor yang terkenal dengan aktiviti sistem bunyi hujung minggu, sudah tentulah ia tak mahu ketinggalan.

Kereta ini dipasangkan dengan pemain cakera padat Pioneer DEH-2320UB sebagai unit utama. Dipasang di bahagian konsol tengah dan langsung tidak menggambarkan sebarang naiktaraf. Nampak macam kereta standard kilang yang ke kedai aksesori tukar player.

Keupayaan keluaran RCA 40watt Mosfet itu dimanfaatkan untuk memandu sistem bahagian hadapan yang melibatkan set komponen Horizon di bahagian kabin. Ia dikuasakan oleh seunit amplifier 2 channel Caliber berkapasiti 800 watt. Tiada talaan sekunder dibuat, ia bergantung sepenuhnya pada equalizer dalaman yang dibekalkan bersama player Pioneer tadi.

Saluran sistem yang sebenar terletak pada bahagian but belakang. Saluran kedua ini dikawalselia oleh sistem sekunder dengan penggunaan 2 unit pre-amp Caliber; seunit pre-amp 7 band CPE-707A dan seunit pre-amp 5 band CPE-5005. Ia dipasangkan pada but belakang dalam perumah custom, lebih mudah menala dan mendengar sendiri gelombang bunyi pada kedudukan ini.

Di bahagian boot lid ialah 4 unit mid bass dan dua unit horn tweeter yang dilekatkan pada perumah buatan khas yang dikuasakan pula oleh seunit amplifier 4 channel dari Caliber. Jelas, tujuannya adalah untuk persembahan di tapak demo ataupun pada pertandingan, justeru kekemasan pemasangan turut diambilkira dalam hal ini. Ia menggunakan penebat gentian kaca yang dibalut dengan helaian PVC dengan tema warna merah dan putih.

Di dalam but dipasangkan dengan 2 unit woofer Horizon 12” dengan fungsi gegelung berkembar berkuasa tinggi. Ia digerakkan oleh seunit amplifier monoblok kelas D dari Caliber yang memastikan kombinasi bunyi sepadan dengan rupanya. Sama seperti pada boot lid, kemasan pada ruang boot yang menempatkan komponen sampingan ini juga ditampilkan dengan tema warna serupa, merah dan putih.

Untuk mendapatkan kemasan badan yang lebih sporty, Proton Wira ini dipasangkan dengan panel badan Mitsubishi Lancer di depan. Bersamanya ialah satu set sunroof dan rim 17” yang memastikannya kelihatan menyerlah di kawasan pameran yang ramai orang. Kan?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 82




























