Jika anda mengikuti rapat perkembangan dunia audio kereta di peringkat kebangsaan, tidak banyak acara atau aktiviti berkapasiti besar yang dianjurkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Boleh dikatakan, perkembangan dunia audio kereta (ICE) semakin bergerak perlahan. Berbeza dengan keadaan ketika kegilaan modifikasi sistem audio kereta berada di zaman kemuncaknya, kira-kira lima tahun lepas. Hampir setiap bulan pasti ada pertandingan audio yang diadakan terutamanya yang melibatkan penglibatan para pencinta dan penggiat audio bukan sahaja dari Malaysia, malah juga dimeriahkan lagi dengan penyertaan dari para peserta negara jiran.
Satu-satunya pertandingan audio yang paling berpengaruh dan masih kekal dianjurkan sehingga ke hari ini adalah siri pertandingan Europe Mobile Media Association (EMMA) yang dibawa masuk ke Malaysia sejak beberapa tahun lepas. Baru-baru ini, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) telah berlangsungnya pusingan akhir pertandingan EMMA Malaysia untuk tahun 2018 yang diadakan sempena penganjuran Automechanika 2019 pada 22 dan 23 Mac lalu. Pelbagai kereta dengan sistem audio yang gah telah menyertai pertandingan berprestij ini. Pihak kami berkesempatan menemubual salah seorang peserta iaitu saudara Chua Bun Kuang, pemilik Harrier yang dilengkapi sistem audio dari jenama Hertz.
Harrier ini bukan dari Malaysia sebaliknya datang dari Singapura yang mewakili Audio Solution Pte Ltd dalam kategori Pure Sound. Sistem audio Harrier ini dibina tanpa kerja-kerja rumit tetapi tetap menghasilkan kualiti bunyi terbaik. Perkara pertama dan paling asas dalam membina sebuah sistem audio khususnya untuk pertandingan terletak di atas perancangan penala audio. Sebelum meneruskan dengan kerja-kerja pemasangan sistem audio, penala perlu merangka diagram yang tepat bagi memastikan semua berjalan lancar. Soal memperkemaskan penampilan, itu hanya akan ditentukan selepas sistem audio yang dirangka siap dipasang.
Saudara Chua Bun Kuang menyerahkan kepercayaan 100 peratus kepada warga kerja Audio Solution Pte Ltd untuk membina sebuah sistem audio yang menepati kritieria kategori Pure Sound yang ditetapkan EMMA. Baiklah, sebelum berbincang lebih lanjut tentang sistem audio Harrier ini, suka untuk saya ingatkan tentang tips menyertai mana-mana pertandingan audio yang mungkin anda pasang niat atau rancang untuk sertai di masa akan datang. Harus diingatkan, setiap pertandingan mempunyai kriteria masing-masing. Justeru itu, pastikan anda mengetahui tentang kriteria yang dikehendaki sebelum memasuki sesebuah pertandingan audio. Jelas, bukan?

Baiklah, berbalik kepada sistem audio Harrier Hertz ini yang mempunyai sistem binaan ringkas di atas diagram yang telah dilukis terlebih dahulu. Dimulakan dengan pemain utama Alpine INE-W928R yang bukan sahaja dipilih kerana ketepatannya membaca data atau format audio serta video, tetapi kerana ia juga didatangkan bersama ciri-ciri istimewa lain yang relevan dengan keperluan pemandu. Selain memudahkan pemanduan, pemain utama ini juga memastikan pemanduan anda tidak membosankan. Dengan skrin monitor seluas 8”, pemain utama Alpine ini menyediakan kemudahan main balik video dan audio dari iPhone/iPod, USB, pemain DVD (sama ada video DVD/CD/DivX/MP3/WMA/AAC).

Setelah proses bacaan data dari format video dan audio, isyarat yang diproses disalurkan ke seunit pemproses isyarat digital Hertz H8 DSP. Berkemampuan menjadi pengantaramukaan dengan mana-mana sumber analog atau digital dan mengubah audio yang biasa menjadi sistem audio berkualiti tinggi. Isunya di sini bukan lagi sumber audio yang biasa-biasa kerana pemain utama Alpine tadi telah pun memancarkan isyarat yang telah dibaca serta diproses dengan cukup teliti sebelum disalurkan ke H8 DSP. Ya, isyarat yang dihasilkan ini jauh lebih bersih dan menepati frekuensi yang diperlukan untuk dihantar kepada beberapa unit amplifier sebelum bertugas memacu barisan speaker dan woofer.
Sebanyak 3 unit amplifier telah digunakan yang terdiri daripada 2 unit amplifier 4 channel Hertz ML Power 4 dan seunit amplifier monoblock Hertz ML Power 1. Kedua-dua unit amplifier 4 channel ini berfungsi untuk memacu sejumlah 6 unit speaker. Unit amplifier yang pertama memacu 2 unit midrange Hertz Mille Legend ML 700.3 dan tweeter Hertz Mille Legend ML280.3. Setiap satu unit midrange dan tweeter ini dipasangkan pada kedua-dua belah pillar A dengan mengambil kira posisi yang tepat untuk kualiti audio yang dihasilkan dapat sampai kepada pemandu. Dalam hal ini, penjurian yang diutamakan dan kedudukan speaker yang tepat amat penting.
Seterusnya, Audio Solution memilih dua unit woofer Hertz Mille Legend ML 1650.3 yang dipasangkan di kedua-dua belah panel pintu. Pengikut setia Hertz pasti sedia maklum tentang tujuan woofer ini dibina oleh pengeluarnya. Di atas permintaan para penggemar audio yang mementingkan prestasi audio ekstrem, ML 1650.3 dibina untuk meningkatkan prestasi yang mampu melangkaui had komponen audio yang biasanya dipasang pada panel pintu. Dalam ayat lebih mudah dan senang faham, woofer ini dibina dengan prestasi luar biasa tetapi untuk dipasangkan pada panel pintu. Boleh faham? Akhir sekali, Audio Solution mengemaskan sistem audio pada Harrier ini dengan memasang seunit woofer Hertz HX250.D4.

Sebagaimana kereta-kereta yang dipasangkan dengan sistem talaan yang mengutamakan kualiti bunyi, tidak banyak pengubahsuaian dilakukan terhadap Harrier ini. Boleh dikatakan, hampir tiada melainkan pemasangan ruang khas untuk menempatkan amplifier di tempat letak barang serta logo Hertz. Logo Hertz ini juga dilekatkan di bahagian badan Harrier, satu teknik paling mudah untuk mempromosikan jenama ini.
Disebabkan kami hanya berpeluang melakukan sesi penggambaran dan temubual ini ketika acara pertandingan EMMA dijalankan, tidak banyak pilihan gambar yang dapat dihidangkan bersama untuk tatapan para pembaca. Namun, apa yang lebih penting ialah kualiti bunyi yang ada pada Harrier biru ini. Mungkin, kami akan mempunyai peluang untuk melakukan satu lagi sesi bersama saudara Chua Bun Kuang dan Harrier Hertz kebanggaannya. Siapa tahu, beberapa bulan dari sekarang ada penambahan yang dilakukan Chua Bun Kuang dan Audio Solution. Sama-sama kita tunggu!
























