Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) memperluaskan lagi rangkaian IONIQ 6 di pasaran Malaysia termasuk dua varian terbaharu iaitu Lite dan Plus, melengkapi varian Max RWD dan Max AWD yang dilancarkan terlebih dahulu pada Julai. Ekoran sambutan dan maklumbalas orang ramai terhadap Hyundai IONIQ 6 yang begitu menggalakkan, rata-ratanya kagum dengan teknologi terkini Electrified Streamliner, kecekapan aerodinamik dan prestasi.
Menurut Pengarah Urusan dan Pengedaran Sime Darby Motors Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan berkata pemenang Anugerah Kereta Dunia 2023 (2023 World Car Awards) kini boleh didapati dalam spektrum yang lebih luas untuk pasaran Malaysia. Pemegang tiga anugerah berprestij dunia ; 2023 World Car Of The Year, 2023 World Electric Vehicle Of The Year dan 2023 World Car Design Of The Year – kesemuanya merupakan kereta sedan elektrik model IONIQ kedua dari Hyundai dan juga kedua selepas IONIQ 5 yang pernah memenanginya pada tahun 2022.
Varian terbaharu Lite dan Plus IONIQ 6 ini merupakan motor tunggal kenderaan pacuan roda belakang (RWD – rear wheel drive). Bateri ion-litium (Lithium-ion) 53kWh membekalkan 111kW yang menghasilkan tork 350Nm yang sama seperti Max RWD, membolehkan kedua-dua varian Lite dan Plus memecut sehingga 100 km/j dari titik ‘0’ dalam hanya 8.8 saat.
Jaraknya pula ialah 429km pada kitaran WLTP dan terima kasih kepada kejuruteraan 800-voltan yang dikongsi bersama varian Max, kedua-dua IONIQ 6 Lite dan Plus ini juga boleh dicaj dari 10% sehingga 80% hanya dalam masa 18 minit, memberikan maksima 350 kW DC. Apabila ia plug kepada pengecas yang kurang berkuasa, Lite dan Plus ini mengambil masa yang lebih singkat berbanding varin Max – 10% hingga 80% mengambil masa selama 58 minit pada 50 kW DC, manakala 0% hingga 100% mengambil masa selama 5.5 jam pada 11 kW AC.
Bagi makluman, varian Lite dan Plus ini kebanyakannya berkongsi kelengkapan yang sama dengan varian Max seperti tujuh beg udara (termasuk di tengah di bahagian hadapan), Lane Keeping Assist, Forward Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Vehicle-to-Load (V2L). Selain itu, ia juga dilengkapi dengan skrin 12.3inci, penyambungan Android Auto dan Apple CarPlay, cahaya ambien 64-warna, pengecas telefon tanpa wayar dan banyak lagi, seiring dengan kelengkapan mewah yang moden, berteknologi terkini dengan ciri-ciri futuristik yang sofistikated.
Harga IONIQ 6 di Malaysia kini bermula dari RM219,888 untuk varian Lite RWD sebelum berganjak ke RM249,888 untuk varian Plus RWD, sekali gus melengkapi varian Max sedia ada. Kesemua adalah harga di atas jalan raya (on the road) sebelum insuran dan termasuk lapan tahun waranti untuk bateri 160,000km. Bagi penambahan RM10,000, waranti kenderaan standard dinaikkan sehingga lima tahun/100,000 km serta tiga tahun/50,000 km servis percuma. Keahlian setahun percuma Shell Recharge Gold untuk 30 pemilik pertama diberikan ketika penyerahan model-model ini.
Temapahan IONIQ 6 boleh dibuat di mana-mana kedai jualan Hyundai seluruh Malaysia dan juga menerusi atas talian menerusi platform Cl!cktoBuy (https://www.hyundai.com.my/clicktobuy/). Kedua-dua varian Lite dan Plus ini boleh didapati dalam lima warna yang sama ditawarkan untuk varian Max iaitu Abyss Black Pearl, Nocturne Grey Matte, Biophilic Blue Pearl, Dive Blue Solid dan Gravity Gold Matte. Penyerahan IONIQ 6 Lite dan Plus ini dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.