Pernah menggegarkan Giant Hypermarket Sg Manggis tahun lalu, Gathering Motorshow kembali menyemarakkan dunia permotoran dengan lebih meriah dan dipadatkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang acara berlangsung. Diadakan pada 2 Mac lalu, acara ini merupakan anjuran BKGK Group Event dengan kerjasama MPKK Sg Manggis dan juga Giant Hypermarket.
Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Audio DB Test Competition, Best Of The Best Back To Back Audio, Himpunan Kelab Kereta & Komuniti dan Stance Motorshow. Setiap aktiviti ini diadakan mengikut masa yang telah ditetapkan dan dimulakan dengan sesi pendaftaran. Bagi kategori Audio PA DB Test Competion, pendaftaran dibuka dari 12.00 tengah hari sehingga 3.30 petang. Para peserta dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM50 dan sesi penghakiman bermula dari pukul 5.00 petang.
Bagi segmen Best Of The Best Back To Back Audio, para peserta dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM100 dan perlu melepasi dua peringkat sebelum berentap di peringkat final. Sebanyak 3 trofi besar disediakan dan menjadi pemilik para pemenang yang mempamerkan aksi cemerlang.
Ini diikuti dengan segmen Himpunan Kelab Kereta & Komuniti yang menyediakan pelbagai aktiviti. Dengan hanya bayaran pendaftaran sebanyak RM30 untuk sebuah kereta, para peserta menerima baju, sijil penyertaan serta berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Manakala untuk segmen Stance Motorshow pula, pendaftaran dibuka pada 12.00 tengah hari sehingga 4.00 petang dan pengiraan mata dimulakan pada pukul 4.30 petang sehingga 6.00 petang.