Tema animasi Disney, komik Marvel, Ultraman dan macam-macam lagi, sering menjadi pilihan para penggemar modifikasi khususnya yang tidak pernah ketinggalan menyertai mana-mana pertandingan Autoshow. Mungkin ada yang mempunyai alasan tersendiri dalam memilih watak animasi untuk menarik perhatian para juri dan tidak kurang juga menjadi tumpuan para pengunjung di setiap tapak pertandingan. Walau apa juga alasannya, pemilihan animasi dengan mengorbankan dinding kereta adalah satu perbuatan yang cukup berani.
Kenapa berani?
Bukan mudah untuk mengorbankan sebuah kereta yang dibeli berpuluh-puluh ribu, malah ada juga yang masih berbaki hutang dengan pihak bank. Namun, demi memenuhi kehendak hati dan paling penting, kepuasan yang menjamin kebahagiaan. Mungkin di mata orang-orang luar dari dunia modifikasi tidak akan mengerti. Biarkan. Yang penting, happy. Seperti yang dapat dilihat pada kereta Kancil yang tampil comel dengan memilih tema Mickey Mouse ini. Comel sangat!
Jangan tertipu dengan kecomelan kereta Kancil berwarna unggu yang dilengkapkan dengan pelekat tema Mickey Mouse kerana di dalamnya dipadatkan dengan sebuah sistem audio yang bukan biasa-biasa. Sejumlah 6 unit woofer 12” yang dimeriahkan dengan 4 unit mid bass, 6 unit PA mid dan 4 unit tweeter. Berdentum, menggegar bumi. Cubalah rasa, kalau berani.
Mustahil untuk anda merasa gegaran bass dari Kancil Mickey ini kerana ianya ada di Sarawak. Rakan-rakan di Sarawak memang bertuah kerana dapat merasai kehebatan sistem audio Kancil Mickey yang ditala oleh Brother Car Accessories yang pernah menala sebuah van dengan tema Avenger dari sana. Installer ini meneruskan kecemerlangannya dalam menala audio dan dalam masa yang sama tampil menyeronokan menerusi sentuhan magisnya.
Bagi memudahkan pembacaan anda, kita mulakan dengan pemain utama yang menjadi jantung dan nyawa kepada sistem audio Kancil NT Power ini. Pemain utama yang digunakan adalah Pioneer DEH-X1750UB dan segala data yang telah diproses akan dihantar pula akan dihantar serta dipecahkan kepada 3 laluan baru yang mana setiap satunya diproses pula oleh seunit preamp NT Power NT-P777. Laluan pertama adalah khas untuk 4 unit mid bass NT Power NT-6.0B dan 4 unit tweeter NT Power NT-PA3. Kesemua speaker di laluan pertama ini dipacukan pula oleh seunit amplifier 4 channel NT Power NT-S6004.
Keempat-empat unit mid bass tadi telah ditempatkan dalam sebuah perumah khas yang dipasangkan pada boot lid yang dikelilingi pula bentuk Mickey Mouse. Comel kan? Manakala 4 unit twitter tadi ditanam di atas perumah yang mengisi 6 unit PA mid NT Power NT-PA6. Keenam-enam unit PA mid ini pula merupakan laluan kedua yang dipacukan oleh seunit amplifier 4 channel NT Power NT-S6004.
Tidak seperti susunan mid bass tadi, keenam-enam PA mid ini telah dibahagikan kepada dua bahagian dan setiap satunya terdiri dari 3 unit yang ditanam dalam perumah khas di bahagian kiri dan kanan ruang tempat meletak barang. Kalau diikutkan, memang sudah tiada tempat untuk meletak barang kerana ruang ini dikhaskan untuk menjadi perumah setiap speaker dan woofer.
Bercakap tentang woofer, installer telah menggunakan woofer 12” NT Power NT-12DDD. Boleh anda bayangkan berat setiap satu woofer dan digandakan dengan 6? Berat. Memang berat. Bukan mudah untuk sebuah kereta kompak seperti Kancil ini memikul bebanan sebegini tetapi kemahiran installer membolehkan ia menjadi mudah dan nampak senang. Itu baru bebanan 6 unit woofer 12”, bagaimana jika keseluruhan speaker dan aksesori audio lain yang ada pada kereta Kancil ini? Wah. Jenuh nak buat kira-kira!
Berbeza dengan laluan pertama dan kedua, laluan ketiga yang memacu barisan woofer ini dipecahkan lagi kepada 3 laluan baru. Setiap satu laluan ini pula menempuh seunit amplifier monoblock yang kemudiannya memacu dua unit woofer. Rumit tak? Tak rumit kalau anda dapat mengikuti perjalanan sistem ini dengan baik dan tanpa gangguan.
Tidak banyak yang boleh diperkatakan dari sudut interior dan eksterior Kancil ini. Bahagian dalamnya iaitu di tempat duduk penumpang belakang telah digunakan sepenuhnya untuk mengisi perumah speaker tadi. Manakala di kabin hadapan, installer telah mencabut tempat duduk penumpang untuk memberi ruang khas kepada perumah yang menempatkan barisan lima unit amplifier.
Berbaloi atau tidak? Itu persoalan yang sangat subjektif. Memandangkan Kancil ini digunakan untuk menyertai pertandingan Autoshow dan sebagai kereta demo, saya katakan. Ini baru power!