
Bermula dari sebuah konsep yang diilhamkan hampir sepuluh tahun lalu, tiada siapa menjangkakan Mean Machines menjadi salah satu acara permotoran paling lama bertahan di Malaysia. Malah, ia turut tersenarai antara acara permotoran bertaraf antarabangsa. Sejak mula diperkenalkan sejak Oktober 2007, Mean Machines semakin berkembang dengan penyertaan dari pelbagai nama-nama gergasi dunia permotoran sama ada tempatan mahupun antarabangsa.

Mean Machines diadakan di Auto-City Juru, sudah sinonim dengan bandar yang diiktiraf sebagai bandar sehenti auto oleh Kerajan Negeri Pulau Pinang. Diadakan selama dua hari dengan menggunakan tema For One Final Ride, sempena menyambut ulang tahun penganjurannya yang kesepuluh. Dianggarkan seramai 80,000 ke 100,000 pengunjung telah membanjiri Auto City sekali gus memeriahkan lagi penganjuran Mean Machines ini.

Bagi merancakkan lagi acara Mean Machines, pelbagai aktiviti dan program disediakan untuk disertai para peserta dan juga pengunjung. Antaranya seperti Competition Cars Roll In, Chemical Guy Sexy Car Wash dan macam-macam lagi. Di kesempatan ini juga, para peserta berpeluang mempamerkan kehebatan kereta masing-masing yang telah diubahsuai dengan begitu unik sekali.

Walaupun cuaca tidak menentu sepanjang penganjuran Mean Machines kali ini, ia tidak menghalang kehadiran pengunjung dari terus memeriahkan lagi acara ini serta tidak mampu tidak mematahkan semangat para peserta yang berkobar-kobar. Para pengunjung mengambil peluang ini untuk berinteraksi dengan wakil-wakil jenama terkenal dunia permotoran menerusi gerai-gerai pameran yang disediakan. Antara yang menyerikan acara ini termasuklah sistem audio kereta, produk penjagaan kereta, aksesori kereta dan banyak lagi.

Namun begitu, tidak boleh dinafikan segmen yang paling dinanti-nantikan oleh para pengunjung ke acara Mean Machines adalah untuk menyaksikan Miss Mean Machines. Pada tahun kesepuluh penganjuran acara ini, para hadirin diperkenalkan dengan barisan wajah-wajah jelita yang bertanding untuk merebut gelaran Asia Hottest Car Model. Gadis-gadis yang menyertai dua-dua pertandingan ini pula bukan sehaja jelita tetapi juga bijak dalam penampilan masing-masing.

Selain itu, para peserta juga turut dihiburkan dengan persembahan secara langsung seperti Chemical Guys Sexy Car Wash Competition yang menyaksikan para peserta menari sambil mencuci kereta dan yang terbaik diangkat sebagai pemenang. Pastinya penganjuran Mean Machines – For One Final Ride yang baru sahaja berlalu ini meninggalkan kenangan dan kekal terpahat dalam memori semua yang terlibat!



































