Jika anda nak bina sistem audio bergerak yang bagus, casis kereta dengan ruang yang besar ialah pilihan terbaik. Sebabnya mungkin semua dah tahu, ruang yang besar memberi lebih banyak tempat untuk menempatkan speaker dan segala aksesori yang diperlukan untuk membina sistem audio yang hebat. Tapi ruang yang besar juga memberi cabaran kepada installer sebab kalau kerjanya tak kemas, orang akan nampak dengan jelas.
Model Nissan AD Resort ialah model yang agak popular dijadikan bahan modifikasi untuk sistem audio oleh kerana faktor ruang yang dibincangkan awal-awal tadi. Jika sistem audio jenis SPL yang diinginkan, maka kereta wagon macam ni memang sangat sesuai dijadikan asas memandangkan ruang kargonya yang luas cukup sesuai bagi menempatkan woofer dan mid bass dengan jumlah yang banyak.
Kereta demo ni secara eksklusif menggunakan produk buatan Audiobank bagi membuktikan produk yang dijual mampu menghasilkan kualiti audio terbaik. Sistem audio ini dimulakan dengan pemilihan unit utama, iaitu nadi kepada apa-apa sistem audio yang hendak dibina. Memandangkan Audiobank tidak menghasilkan sistem utama, installer mereka memilih pemain utama dari Pioneer DEH-P80RS sebagai pemacu utama sistem audio mereka. Pilihan P80RS ni agak pelik sebenarnya sebab lazimnya, pemain ini lebih sesuai untuk muzik lembut berbanding muzik keras dan bassy yang sering dimainkan bagi menguji sistem audio jenis SPL.
Tapi ini mungkin cabaran yang dikehendaki oleh installer bagi membuktikan sistem sokongan dipasang mampu mengubah karektor pemain utama yang lembut ni menjadi lebih keras. Seterusnya, sistem utama tadi disambung dengan pre-amp 7 band Audiobank AB-307P yang bertindak memecah frequensi bunyi yang datang dari unit utama dan menyalurkannya kepada amplifier bagi menguatkan lagi frekuensi tersebut.
Frekuensi bunyi tinggi dan sederhana dihantar kepada amplifier Audiobank AB-Z1204 yang mempunyai empat saluran (4 channel). Amplifier stereo berkuasa tinggi ni mampu memacu 8 unit pembesar suara satu hala 6.5” Audiobank AB-265PA yang disusun secara sejajar menghala keluar di bahagian ruang but kereta. Selain daripada pembesar suara, amplifier tersebut juga memacu 4 unit horn tweeter Audiobank HT-Z50T yang diletak bersebelahan dengan pembesar-pembesar suara tadi.
Sekarang, tiba masanya untuk menjadi serius di dalam penghasilan kuasa bass yang mampu menggegarkan dada sesiapa saja yang berdiri hampir dengan kereta ni. Installer sistem ni menggunakan 4 unit amplifier jenis monoblock Audiobank AB-Z2000 yang mampu menghasilkan 2000 watt RMS setiap satu bagi mendapat kuasa terkumpul sebanyak 8000 watt RMS.
Kuasa yang setinggi itu disalurkan kepada 8 unit woofer Audiobank AB-P12D4 yang masing-masing mempunyai diameter 12”. Woofer ni mampu menampung kuasa sehingga 1000 watt RMS dan ia merupakan tarikan utama kepada keseluruhan sistem ni. Installer untuk projek kereta ni membina sebuah perumah khas yang memenuhi setiap ruang kargo dan jugak ruang tempat duduk belakang (yang sekarang dah tak wujud) bagi menempatkan subwoofer-subwoofer berkenaan.
Ingat lagi pasal pembesar suara 6.5” yang diceritakan awal tadi? Woofer semua dipasang di belakang perumah untuk pembesar suara 6.5” tadi bagi mendapat keseimbangan dari projection bunyi yang keluar menghala ke pendengar di luar kereta.
Amplifier sebanyak 5 unit yang digunakan bagi memacu pembesar suara dan woofer pun mendapat perumah buatan customnya yang tersendiri. Apa yang unik ialah akses untuk amplifier-amplifier tersebut melalui bukaan pintu belakang yang asalnya untuk kegunaan penumpang belakang. Bila pintu-pintu berkenaan dibuka, kelihatan 2 unit amplifier di setiap pintu dan tiga unit kapasitor Audiobank yang memberi jumlah kapasitor yang digunakan ialah 6 unit.
Bahagian but kereta ni pun bukan hanya diisi dengan woofer dan pembesar suara, malah lantai but kereta ni dah dilapik dengan lapisan gentian kaca custom yang dihiasi dengan lakaran seni air brush yang memberi impak secara visual setiap kali kereta ni dipamerkan kepada orang ramai.
Walaupun kereta ni digunakan secara hakiki untuk pertunjukkan dan pertandingan audio, AD Resort ni juga dihiasi dengan bodykit gaya JDM. Muka depan kereta ni diganti dengan muka depan AD Resort versi facelift manakala bahagian belakang, bonet dan bumper diganti barang OEM Nissan Wingroad California. Skirting sisinya pulak diambil dari model Sentra B13. Dengan jumlah kuasa yang besar dari amplifier dan 8 unit woofer, kereta demo Audiobank ni mampu menghasilkan kuasa yang amat menakjubkan.