Tertekan. Beberapa hari kebelakangan ni saya punya banyak masa. Yang tiada ialah idea. Tapi itulah hakikatnya, kerja perlu disiapkan tepat pada masanya. Ketika jam ini, saya yakin di kawasan perumahan ni hanya saya saja yang masih belum melelapkan mata. Dari siang tadi saya cuba menyiapkan artikel ini. Namun disebabkan beberapa masalah peribadi yang melanda semalam, idea begitu susah nak dicurahkan. Konflik pemikiran nampaknya belum pulih.

Perodua Myvi yang nampak ‘biasa’ dari sudut luaran ini sebenarnya telah menjalani proses transformasi audio yang besar. Pada mulanya saya juga sangkakan ia sebuah sistem yang ditemui dalam tugas seharian tapi sebaik but belakang diangkat, saya terus memuji dan tidak berhenti memuji.

Cara kereta ini dibina bukan sahaja unik, tetapi ketelitian dan kekemasannya wajar jadi ikutan kepada industri secara amnya. Bukanlah nak memuji berlebihan tapi boleh saya katakan jarang orang membina dengan teliti sehingga ke peringkat paling terperinci. Selalunya, kondisi pemasangan tidak begitu dititikberatkan setelah kenderaan tersebut sudah lama digunakan.

Ruang but belakang kereta ini telah dibina semula dengan fabrikasi kompleks yang diperbuat daripada bahan gentian kaca. Dua set perumah berbeza menampilkan hasilkerja gentian kaca pada penutup but. Bahan ini telah menambah berat but ini berkali ganda dan absorber asal untuk mengangkat hud ini telah digantikan dengan set dari Estima.

Di bahagian atas inilah terletaknya lapan unit mid range Cadence CVLW64S yang dipasangkan dalam susunan empat dua. Ditengahnya pula dihimpit dua unit tweeter Cadence CVLT35. Kesemua set ini mendapat bekalan kuasa yang diekstrak dari amplifier empat saluran Cadence siri Xenith XAH-175.4. Amplifier ini diletakkan di bahagian belakang perumah woofer yang akan saya ceritakan dengan lebih lanjut lagi nanti.

Empat unit woofer 12” yang kelihatan dari belakang itu sebenarnya telah dibantu oleh dua lagi woofer yang sama di bahagian penyandar kerusi belakang. Ia diletakkan secara ‘reverse’ dan menurut pihak Cadence, woofer siri S1 (ZRS12-600-D4) ini adalah produk terbaik yang mereka ada. Begitupun ia hanya dapat beraksi pada kadar maksumum bila digandingkan dengan amplifier monoblok Cadence XAH1200D. Dalam projek kereta ini, sebanyak 3 unit amplifier kelas D tersebut telah dipasangkan yang mana masing-masing membekalkan kuasa pada setiap 2 unit woofer (bridge).

Beralih ke bahagian dalaman. Tumpuan utama saya ialah kemasan bahagian kerusi belakangnya yang tidak dibuang sepenuhnya. Secara teorinya, kerusi belakang masih boleh memuatkan dua orang dewasa (walaupun tidak selesa) sekurang-kurangnya anda masih mempunyai sebuah kereta dengan 4 tempat duduk.

Fabrikasi bahagian belakang ini berjaya mengenengahkan idea kreatif dengan hasil yang amat memuaskan. Bukan itu sahaja. Walaupun sistem kompleksiti bahagian belakangnya adalah terang lagi nyata, bahagian kokpit hadapan turut menerima sistem yang tidak kurang hebatnya. Sistem bunyi bahagian dalam ini berbeza dengan di belakang yang dipacu pemain JCV DVD KW-AVX905. Parameter pembahagian bunyi ini dibuat dengan dua unit pre-amp VSL M10 yang mana untuk bahagian hadapannya disetkan pada penalaan nisbah bunyi keliling 5.1 digital.

Ia melibatkan pemasangan dua staging berbeza di kedua-dua pintu hadapan dan belakang. Set hadapannya terdiri daripada frekuensi bunyi 3 hala yang melibatkan unit mid 6”, high mid 4” dan 2 unit tweeter. Tidak banyak jenama audio hari ini yang menawarkan set-up 3 hala sepertimana siri Cadence model CVL3WK ini. Set yang dipasang pada perumah pintu, panel pillar A ini mendapat punca kuasa dari amplifier Cadence siri Q4000. Amplifier 4 channel ini juga memastikan aliran bunyi sekata untuk satu lagi set bunyi pada speaker komponen 2 hala CVL2WK yang dipasangkan pada kedua-dua belah pintu belakang.

Jika melihat pada diagram yang diberikan nescaya ramai yang beranggapan ia sebuah sistem yang rumit dan kompleks. Tapi sebenarnya, sistem kereta ini boleh dikatakan masih praktikal untuk dibina pada kereta seharian asalkan pemasangan dan penalaannya dilakukan oleh tangan yang betul. Pada sentuhan akhir dengan penampilan pelekat badan, kereta ini sudah berubah karakter menjadi salah satu objek demo yang mampu menarik perhatian ramai, malah tampil lebih elegan dan sangat berkeyakinan tinggi!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 46




































