Sejak kereta ini diperkenalkan sebagai produk tempatan pada tahun 1985, Proton Saga telah mengalami proses transformasi yang panjang. Sehingga pengeluarnnya ditamatkan secara rasmi pada tahun 2008 ia menjadi ikon nasional, membolehkan keluarga sederhana memiliki sebuah sedan murah, ekonomikal dan terbukti praktikal. Jika bukan kerana teknologinya yang terlalu kuno (karburetor dan casis tidak sebaik kereta moden) ia pasti akan terus dikeluarkan lagi pada hari ini.
Lebih 10 tahun sejak model terakhirnya dijual di Proton Edar, kini kereta ini telah menjadi salah satu model tempatan yang digemari untuk proses ubahsuai. Dari penukaran enjin Mitsubishi siri 4G6X/4G9X dan bodykit kereta kebal atau apa juga kerja customization. Saga membuktikan versatilitinya sebagai kereta ‘rakyat’ sebenar.
Masih lagi digunakan sebagai kenderaan harian, Proton Saga LMST berwarna perang ini turut sama memeriahkan keluarga Saga modified di Malaysia. Begitupun, ia telah menumpukan pada pengubahsuaian di bahagian sistem audio dengan mengekalkan keaslian binaan badannya. Dari sudut luaran, tak ramai yang menjangkakan proses naiktaraf ekstensif yang telah dijalankan.
Projek ini bermula dengan pemasangan pemain utama Alpine 9887. Terkenal dengan kualiti pemprosesan bunyi dan kelajuan bit pantas, ia antara pilihan penggemar audio yang mengutamakan bunyi yang teliti dengan kos yang munasabah. Ia mungkin tak secanggih Pioneer P80 dan P90 tetapi sudah mencukupi untuk mereka yang gemar pada proses tingkat-taraf ataupun peminat multi saluran nisbah 5:1.
Pemain ini dibantu oleh 3 unit amplifier berbeza fungsi. 2 set pertama ditugaskan untuk memecahkan frekuensi sederhana dan tinggi. Amplifier tersebut ialah dari Realm model A600.2 yang merupakan amplifier 2 channel menguasakan empat unit komponen German Maestro CS6508IV.
Sistem 3 hala yang dibina untuk ruang kokpit kereta ini kemudiannya disempurnakan dengan satu lagi set komponen yang juga dikuasakan oleh amplifier berspesifikasi sama.
Bagi menyempurnakan sistem audio yang lengkap sudah tentulah sistem bass yang padu diperlukan. Proton Saga ini mendapat khidmat daripada 2 unit woofer Powerbass 3XL1202D yang dipasang kemas pada but belakang dalam kotak buatan khas di mana amplifier yang disebutkan tadi menjadi sebahagian besar dari aspek kosmetik apabila but ini siap dibina.
Amplifier yang bertanggungjawab ‘memandu’ woofer ini ialah dari Powerbass XTA500D. Ia bersaiz gergasi dan diletakkan diatas lantai but belakang. Dengan mengambil tema peralatan yang majoritinya berwarna gelap, penggunaan vinyl berbalut hitam menyelimuti keseluruhan but tadi. Sebagai sokongan tambahan terhadap jajaran kuasa amplifier ke speaker tadi, dua unit kapasitor 1.2 farad dipasangkan. Ia juga diposisikan pada setiap sisi but untuk tampak lebih menarik.
Kelengkapan audio kereta ini diakhiri dengan proses penalaan yang teliti. Staging demi staging yang ditala sehinggalah mencapai ke puncak bunyi yang harmoni dalam setiap frekuensi, nisbah saluran, bunyi keliling, peringkat pemecahan gelombang yang akhirnya membuatkan pemiliknya tersenyum. Perbelanjaan yang dilaburkan ternyata berbayar dengan kepuasan yang diperolehi.
Walaupun masih di tahap ‘sederhana’ pemiliknya juga suka-suka menyertai beberapa pertandingan audio tempatan. Tanpa disangka, ia berjaya memungut beberapa kejuaraan dan mendorong beliau untuk menjadi lebih serius. Serius? Ya katanya ia akan muncul dengan sistem SQ yang lebih ekstensif lagi. Harapnya saya jadi orang pertama yang dapat dengar bunyinya nanti!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 75