Perodua Myvi boleh dikatakan kereta keluarga nombor satu pilihan rakyat Malaysia berdasarkan angka jualannya yang besar. Kereta hatchback 5 pintu buatan Perodua ni berjaya merampas takhta Proton sebagai kereta paling laris jualannya di Malaysia dan kini, kereta ni ialah objek paling banyak boleh ditemui di bumi Malaysia selain daripada pokok, batu dan lubang di atas jalanraya.
Tidak hairanlah kalau kereta ini dijadikan bahan modifikasi untuk pelbagai jenis projek. Ada yang dijadikan kereta trek, kereta rally, kereta drag, kereta autoshow dan kereta demo audio – semuanya boleh dilakukan pada cesi kompak yang sememangnya hebat. Pihak Top Racing Autowork ialah satu daripada beratus bengkel aksesori audio kereta di Malaysia yang menggunakan Perodua Myvi sebagai kereta demo mereka. Yang membezakan projek-projek ni ialah produk yang digunakan dan daya kreativiti installer bagi pemasangan yang menarik.
Sistem audio yang dipersembahkan oleh kereta demo ni ialah untuk sound quality level atau SQL. Kalau anda perasan dari gambar, kesemua speaker dan juga woofer dihalakan ke dalam kereta dan bukannya ke luar seperti apa yang sering dilakukan untuk sistem audio jenis SPL. Installer sistem audio ini mahukan pemandu berada di ruang dunianya yang tersendiri dan dikelilingi bunyi-bunyi yang jelas atau dengan kata lain Internal SPL.
Yang pasti, unit utama asal Myvi ni tak mampu memberikan hasil yang diinginkan jadi ia merupakan aksesori pertama yang diganti. Unit utama dari Kenwood KDC-U453 menjadi pilihan di mana unit utama ini mempunyai kebolehan memain semula pelbagai jenis format audio dan mampu menerima input dari i-Pod. Dari sini, installer menyambung seunit crossover elektronik dari NT Power 6EQT seperti dicadangkan namanya, fungsi alat ini ialah untuk memecah frekuensi bunyi yang bakal disalurkan ke aksesori audio yang lain.
Dari sini, installer memecahkan isyarat frekuensi tadi kepada dua saluran yang berbeza – satu untuk mid dan high dan satu lagi untuk bass semata-mata. Sebanyak dua unit pre-amp harus digunakan dan pihak installer memilih 2 unit pre-amp NT Power NT-P777 yang diberikan tugas yang berbeza walaupun rupanya sama.
Untuk saluran frekuensi rendah atau bass, installer menyalurkan frekuensi bunyi dari pre-amp tadi kepada seunit amplifier jenis monoblock dari model NT Power NT-1501. Amplifier 2000watt PMPO ni menguatkan frekuensi rendah yang menghentam 2 unit woofer 12” NT Performance 12DD. Untuk menyokong 2 unit woofer yang besar gedabak ini, installer mengambil keputusan untuk membuang tempat duduk belakang dan membina perumah khas yang bukan saja menyimpan woofer tapi juga kesemua aksesori audio yang digunakan.
Bagi mendapatkan reproduksi terbaik untuk frekuensi sederhana dan tinggi, pre-amp yang kedua tadi menyalurkan isyarat kepada seunit amplifier Dynaquest jenis 2 saluran. Sememangnya installer ini tidak perlu menggunakan amplifier lebih daripada 2 saluran memandangkan kuasa dari amplifier hanya digunakan untuk menyalur kuasa kepada 2 unit speaker 2 hala NT Power NT-6.2 yang dipasang pada pintu depan kereta.
Sekarang saya nak cerita pulak pasal kreativiti pemasangan sistem audio ni. Dari sudut ini, memang saya boleh tabik installernya yang mengambil inisiatif membina perumah berbentuk seperti sebuah kepompong di bahagian belakang kereta yang diperbuat sepenuhnya dari kayu dan juga gentian kaca. Kesemua amplifier dan crossover elektronik disimpan di sini dan bahan persplex lutsinar digunakan untuk memastikan orang ramai mampu melihat produk yang digunakan untuk projek audio kereta ini.
Di ruang bonet yang lazimnya diletak speaker dan woofer mempunyai kejutannya yang tersendiri di mana ruang ni dipenuhkan oleh sebuah TV LCD 42” yang jugak merupakan sebahagian aksesori yang diletakkan pada perumah custom yang diceritakan tadi. Dari segi bunyi, woofer yang diletak secara introvert bersama-sama kombinasi speaker 2 hala yang diletak di hadapan memberikan staging bunyi yang baik di mana posisi ini memungkinkan pemandu mampu mendengar bunyi dengan jelas.
Memandangkan ianya sebuah kereta demo, tak lengkap kalau tidak dihias sepenuhnya dengan aksesori yang mampu menarik perhatian orang ramai ke arahnya. Myvi ni telah dipasang dengan bodykit dan pelekat rekaan custom bersama-sama rim aloi 17”. Warna asal pulak dah ditukar kepada warna ungu manakala ruang dalaman kereta dibalut sepenuhnya dengan bahan PVC berwarna putih.
Myvi ni membuktikan kualiti bunyi yang baik boleh dihasilkan tanpa perlu menggunakan terlalu banyak speaker atau amplifier yang mempunyai banyak saluran. Yang penting ialah cara pemasangan yang betul dan talaan yang baik oleh sang installer, gerenti dapat hasil yang memuaskan!