Keadaan berjerebu tidak menghalang para peminat modifikasi kereta untuk turun padang menyertai penganjuran Competition Car Autoshow & Audioshow yang diadakan pada 22 September yang lalu. Walaupun berjerebu, acara ini mendapat sambutan hangat dari para pemilik kereta yang tidak mahu ketinggalan dan mengambil peluang ini untuk mempamerkan kehebatan kereta masing-masing.
Dianjurkan oleh Robin Car Air Cond and Auto Accessories, acara yang berlangsung di Ipoh ini mendapat sokongan dan tajaan dari barisan penaja seperti Kicker, Mohawk, LPT Tyre dan banyak lagi. Selain menyertai pertandingan, kesempatan ini digunakan para peserta untuk beramah mesra dan bertukar-tukar pandangan serta pengetahuan tentang perkembangan dunia modifikasi di Malaysia yang dikatakan kian bergerak perlahan.
Bagi memeriahkan lagi pertandingan ini, pihak penganjur telah membahagikan kepada dua bahagian Autoshow dan Car Audio. Sebanyak 4 kategori telah disediakan untuk Autoshow iaitu Standard Car, Extreme Car, Proton & Perodua Standard dan Proton & Perodua Extreme. Manakala untuk Car Audio pula 1-2 Woofer & PA, 1-3 Woofer & PA, 1-4 Woofer & PA, 1-4 Open Woofer & PA dan 1-2 Sub Woofer. Tahniah diucapkan kepada penganjur dan barisan penaja kerana berjaya menganjurkan acara ini. Ucapan yang sama diucapkan kepada semua pemenang dan peserta dalam memeriahkan lagi penganjuran acara ini.